KOTA TINGGI: Parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) wajar mempertimbangkan calon muda dan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, khususnya di kawasan yang mempunyai peratusan pengundi muda yang tinggi, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata langkah itu bukan sahaja memberi impak positif kepada BN, malah membuka ruang generasi baharu untuk diketengahkan sebagai pelapis kepimpinan parti melalui platform Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita kena menerima hakikat tentang orang muda ramai yang menjadi pengundi. Dalam kawasan saya pun (Pengerang) dalam 40 peratus pengundi muda, harapan saya ia boleh diberikan penekanan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Tanjung Serindit di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu bagaimanapun berkata keputusan muktamad mengenai pemilihan calon adalah di bawah penilaian penuh Biro Politik dan BN negeri.
Pada masa sama, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut menaruh harapan agar dua penyandang kerusi DUN di bawah parlimennya, iaitu Aznan Tamin (Tanjung Surat) dan Fauziah Misri (Penawar) dikekalkan sebagai calon pada PRN kali ini.
Beliau turut berharap agar proses pilihan raya berlangsung dengan semangat demokrasi tanpa sebarang kekasaran atau sebarang masalah yang tidak diingini.
Mengulas pembubaran DUN Johor, Azalina berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mempunyai hak untuk membubarkan DUN atas perkenan Istana Johor.
Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan sokongan positif rakyat Johor yang berterusan terhadap kepimpinan kerajaan negeri di bawah BN.
“Mungkin dengan apa yang berlaku (seperti) Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Istana Besar Johor dan keputusan kemenangan Johor Darul Ta'zim (juara Liga Super) ke-12, saya tengok banyak juga sokongan positif daripada rakyat Johor kepada kepimpinan kerajaan negeri, mungkin dari segi ini (faktornya),” katanya.
Semalam Onn Hafiz mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
-- BERNAMA