LEBIH 5,000 peminat memberikan penghormatan terakhir kepada bintang kesayangan mereka, Sinead O’Connor yang dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam di negara kelahirannya, Ireland.

Menariknya, peminat daripada pelbagai kepercayaan dan agama berkumpul di sepanjang jalan di Bray Head di Utara County Wicklow, Ireland untuk melihat jenazah penyanyi Nothing Compares 2 U itu yang dibaringkan di dalam keranda dan diarak dalam kenderaan jenazah.

O’Connor yang meninggal dunia pada usia 56 tahun di London, 26 Julai lalu disembahyangkan oleh komuniti dan peminat Muslim dengan diketuai oleh Ketua Imam dari Pusat Islam Ireland, Shaykh Dr Umar Al-Qadri.

“Saya berasa sangat bertuah kerana mempunyai peluang untuk mengetuai umat Islam melakukan solat jenazah dan ‘menghantar’ salah seorang sahabat kita, Sinead O'Connor atau Shuhada Sadaqat pulang ke negeri abadi.

“Saya juga menyampaikan salam takziah buat seluruh keluarga dan mengucapkan terima kasih kerana telah mengiktiraf dan meraikan identiti baharunya sebagai seorang Muslim,” kata Umar menerusi ciapan di Twitternya seperti dilaporkan Dailymail.uk.

Penyanyi yang dilahirkan sebagai seorang Katolik itu memeluk Islam pada tahun 2018.

*Artikel disiarkan di Gempak