“Kami masih lagi suami, isteri,” itulah jawapan yang diberikan oleh bintang Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019), Tauke ketika diminta mengulas mengenai isu rumah tangganya yang didakwa sedang bergolak.

Bagaimanapun, kata Tauke, dia dan isterinya Nadia Mohd Affandi masih lagi belum bertemu antara satu sama lain dan meminta ruang untuk menyelesaikannya dalam masa terdekat.

“Statusnya kami masih lagi suami isteri, cumanya dalam perselisihan. Tapi masing-masing sekarang dah ‘cool’ dan bertenang sebab biasalah orang perempuan.

“Mudah terpedaya, mudah terperangkap dengan hasutan luar. Jadi kita sebagai lelaki kena jadi ‘gentle’. Setakat ini belum lagi bertemu, dia kini berada di kampung menjaga bayi yang baru lahir dan saya di sini dengan MLM2019.

“Jadi biarlah kami berdua bertenang dahulu dan baru selesaikan,” ujarnya.

Rumah tangga Tauke dan Nadia menjadi bahan perbincangan hangat dalam kalangan peminat apabila wanita itu baru-baru ini mendedahkan mereka sudah berpisah.

Menurut Nadia, pergolakan rumah tangganya dengan Tauke disebabkan kehadiran orang ketiga.

Dalam pada itu, Tauke memberitahu, buat masa sekarang dia mahu memberikan tumpuan terhadap MLM2019 peringkat akhir Jumaat ini.

“Jadi lepas ini kita jernihkan keadaan, buang yang keruh ambil yang jernih. Kalau boleh nak fokus pada kerja.

“Kalau kecoh pun nanti menyebabkan saya tak tenteram dan tak boleh berikan fokus terhadap kerja,” katanya lagi.

Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).