Karyawan filem tempatan perlu mengadaptasi kemudahan media sosial bagi merapatkan diri dengan peminat serta mempromosi filem mereka, kata Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia Norman Abdul Halim.

Norman, 41, yang juga Presiden Eksekutif Kumpulan KRU, berkata media sosial seperti Facebook dan Twitter adalah platform terbaik bagi karyawan filem menambah baik kandungan berdasarkan maklum balas peminat.

"Karyawan filem tempatan dapat membina prospek kerjaya mereka menerusi penggunaan kemudahan media sosial, dan ini sekali gus dapat membantu mempromosikan filem mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas temu bual program 'Dalam Radar' terbitan Bernama Radio24 sempena ulang tahun keenam dan sambutan Aidilfitri stesen radio itu di Pusat Konvensyen Shah Alam Selasa.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong.

Mengulas lanjut, Norman yang berkecimpung dalam industri seni selama 21 tahun berkata karyawan filem tempatan berdepan cabaran hebat era teknologi maklumat masa kini memandangkan ada pihak melakukan cetak rompak dan menyebarkan filem itu di laman muat naik Internet sebelum ditayang di pawagam.

Beliau turut kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan filem arahan Syamsul Yusof iaitu KL Gangster 2 di Internet sebelum ditayang di pawagam pada 3 Okt depan.

Beliau juga menepis dakwaan bahawa penyiaran filem yang mengandungi unsur keganasan boleh mempengaruhi golongan muda terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.

Filem berunsur keganasan seperti KL Gangster hanya memaparkan ciri semasa masyarakat di negara ini secara realistik dan berdasarkan laporan kes jenayah oleh media, katanya.

Norman berkata karyawan filem tempatan mampu mengeluarkan filem bercita rasa antarabangsa seperti 'Vikingdom' terbitan KRU Studios, yang bakal ditayang di Amerika Syarikat pada Oktober depan.