Baru-baru ini, pelakon tempatan dan presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi, telah bertindak melalui laporan polis ke atas pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM 2007 Vanidah Imran - yang baru dilantik bendahari persatuan sebagai "orang yang bertanggungjawab" atas "kemungkinan kehilangan buku cek persatuan".

Menurut laporan tersebut, ianya dibuat "hanya sebagai persediaan jika berlaku penyelewengan dan memohon pihak bank untuk membatalkan buku cek lama dan mengeluarkan yang baru".

Mengikut sumber, Zed yang dikekalkan presiden Seniman sejak tahun lepas, telah terlalu lama mengelak interaksi dengan ahli lain selain tiga orang teratas ahli AJK persatuan itu iaitu timbalan presiden, Zack Kool, setiausaha kehormat, Zahrin Ishak dan penolong setiausaha, Rena Tan.

The Daily Seni telah menghubungi saudara Zed dan mendapatkan pengesahan tentang bil-bil persatuan yang tertunggak sebanyak RM20,000.

Sewa pejabat pula telah tertangguh selama lapan bulan, dan premis Persatuan Seniman yang menyewa pejabat daripada pihak Persatuan Filem Malaysia (PFM) diberi kebenaran untuk terus beroperasi hanya atas budi bicara Datuk Yusuf Haslam selaku presiden PFM, kata Zed.

Tambah Zed lagi, segala konflik yang timbul berpunca daripada buku cek yang telah dibawa ke luar dari premis pejabat persatuan oleh bendahari, dan operasi persatuan menjadi lebih sukar disebabkan buku cek ini.

Persatuan Seniman
Pelakon tempatan dan presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi, telah bertindak melalui laporan polis untuk menuduh pelakon Vanidah Imran sebagai "orang yang bertanggungjawab" atas "kemungkinan kehilangan buku cek persatuan". - Sumber foto: Paparan skrin YouTube
Dari pihak Vanidah pula, beliau hanya menjalankan tugas sebagai bendahari yang baru dilantik pada AGM yang lepas pada tahun ini.

Vanidah berkata: "Saya cuma berpegang pada amanah sebagai bendahari yang dilantik, dan saya hanya melindungi diri saya dan persatuan.

"Staf persatuan Raja Faizal telah berulang kali menghubungi saya meminta semula buku cek tersebut tetapi saya menolak kerana selagi nama saya belum lagi disenaraikan antara penandatangan persatuan dengan rasmi oleh bank, maaf saya tak akan pulangkan cheque book."

"Kerana semua hal kewangan adalah tanggungjawab bendahari dan niat saya ialah melaksanakan dengan cara yang mengikut undang-undang", katanya lagi.

"Saya faham sepenuhnya bahawa kita sebagai persatuan ada bayaran untuk diselesaikan, tapi sehingga nama saya belum lulus di bank, macam mana saya nak berbuat apa-apa pengeluaran? Jadi mana mungkin berlaku penyelewengan seperti yang didakwa dalam laporan polis tersebut."

Vanidah juga berkongsi bahawa pihak Zed dan ahli AJK Seniman yang lain turut juga menuntut semua buku-buku cek termasuk bagi tahun lalu, tetapi beliau tidak mahu kerana perlu menyiapkan penyata untuk akaun 2013 dan juga 2014 untuk diserahkan kepada audit.

Tambahan lagi, Vanidah berpendapat bahawa tiada gunanya juga mereka meminta buku cek tersebut kerana beliau sendiri belum dibolehkan menandatangani buku cek tersebut dengan sembarangan.

Menurut beliau langkah pertama yang harus dilakukan adalah pelaksanaan proses audit kewangan persatuan. Vanidah menegaskan lagi bahawa tiada respon dari empat orang teratas di dalam AJK Seniman berkenaan hal audit syarikat.

Tiada juga kenyataan bank, resit ataupun invois serta dokumen lain yang diserahkan kepada Vanidah oleh ahli AJK terdahulu. Tiada juga sebarang dokumen yang diperolehi daripada pihak bank.

Sejak perjumpaan AJK pertama pada 15 Oktober, tiada juga perjumpaan kedua ataupun komunikasi di antara kesemua pihak sehingga hari ini demi menangani isu-isu yang berbangkit pada perjumpaan AJK pertama.