APABILA Ahmad Dhani mengatakan ada karya Dewa 19 yang dihasilkan bukan bersifat semata-mata hiburan tetapi sesuatu yang boleh menjadi ‘lebih mewah’ terutama dalam format orkestra, maka itulah yang dapat dinikmati Baladewa dan penggemar muzik.

Sekitar 7,000 Baladewa dan penggemar yang memenuhi Axiata Arena malam tadi untuk berkenalan dan menikmati Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia memperoleh apa yang dimaksudkan Dhani —- muzik bukan sekadar hiburan tetapi makanan jiwa (dalam format orkestra).

Bersama 54 pemain orkestra yang menerima pujian melambung dari Dhani sebagai lebih baik daripada pemuzik Indonesia, konsert yang dibawakan oleh Icon Entertainment tersebut membuahkan kepuasan yang berbeza buat Baladewa dan pencinta muzik.


Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia adalah sebuah usaha dan tanda aras sesuai piawaian grup yang tidak akan gagal mencuit hati sesiapapun waima hanya pernah mendengar sebuah lagu seperti Selimut Hati.

Lalu pada malam konsert, permainan Dewa 19 dan orkestra dengan untaian lagu yang telah menerima susunan semula benar-benar bersifat mewah.

Dibuka dengan Bohemian Rhapsody yang dipimpin Dhani, sebelum memberi kuasa penuh kepada Konduktor Muzik dari Indonesia, Guntur Nur Puspito memimpin permainan orkestra Malaysia sudah cukup membuat penonton bangga betapa megahnya pemuzik tanah air bersama kepakaran yang selalu ‘terlupakan’ kerana fokus kerap diberi kepada vokalis sahaja, misalnya.


Dan Dhani juga mengambil kesempatan membawa muzik kegemarannya dari tembang Rusia kepada My Way, Aku Cinta Kau Dan Dia sehingga karya handal Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Madu Tiga menerusi susunan muzik yang membuat penonton menelaah, ‘membedah melodi’ lalu menikmati santapan jiwa dengan senyuman.

Tidak lengkap Dewa 19 tanpa tiga vokalis andalannya ; Ello yang terus ‘meroket’ bersama Arjuna, Sudah serta Pupus.

Virzha pula buat kesekian kalinya dengan gaya sederhana tetapi memanah tepat di hati pendengar apabila melantunkan gemersik vokalnya lewat tembang Pangeran Cinta, Risalah Hati, Selimut Hati dan Kosong.

‘The one and only legendary’ Ari Lasso tidak dapat dinafikan betapa kuat karisma dan tentu sahaja ‘suara dari surga’ membuat konsert tersebut sempurna.



Susunan muzik Satu menjadi sangat ‘besar’, sebesar makna dalam tiap bait lirik yang disifatkan Ari, si pejuang kanser sebagai ‘ubat’ saat dimainkan bersama orkestra — membuat menewarang di awangan betapa dahsyatnya karya yang digarap pada tahun 2004 menerusi album Laskar Cinta.

Cintakan Membawamu, Dua Sedjoli, Roman Picisan, Kangen dan kemudian ditutup dengan Separuh Nafas bersama semua vokalis adalah pilihan lagu yang cukup indah dalam format orkestra.

Harus dibanggakan juga penampilan tiga penyanyi tempatan iaitu Amir Masdi (duet bersama Ello untuk Bohemian Rhapsody), Shila Amzah duet Jaclyn, Begitu Salah Begini Benar yang tidak kurang menarik.

“Pada saya ini adalah saat yang tepat untuk Dewa 19 membawa budaya baharu bermain bersama orkestra,” ujar pemain gitar mereka, Andra.

Dan benar Andra, ia sangat tepat.



Malah tidak keterlaluan jika disifatkan selepas hampir tiga dekad dalam industri hiburan Nusantara dengan telah mengumpul jutaan peminat, melakukan mungkin puluhan ribu persembahan sejak debut, Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia adalah satu anjakan buat grup asal Surabaya ini.

Hal ini kerana sebagai salah seorang penonton yang pernah hadir menyaksikan puluhan persembahan Dewa 19 sejak lebih 10 tahun lalu, penulis harus mengatakan — inilah saat yang ditunggu.

Dewa 19 tidak lagi memainkan format dan dengan tiada perubahan pada susunan muzik, tetapi naik ke pentas lalu menjual tembang ‘berhantu’ mereka secara ‘begitu sahaja’.

Meski demikian, muzik hanya sekadar hiburan tetapi cara menghargai dan menikmati dalam fasa, kesukaan serta kelas masing-masing adalah bergantung kepada cita rasa peribadi. -Gempak

Kredit foto: @echolaliapictures & @Bangsawan Pictures