PUTRAJAYA: Penyusunan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang kini menjadi dua kementerian berbeza iaitu Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital merupakan langkah strategik mentransformasikan perkhidmatan kerajaan untuk rakyat sejajar peredaran masa serta landskap komunikasi hari ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan penjajaran ini juga menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap potensi industri filem sebagai salah satu sektor penyumbang kepada ekonomi kreatif dan budaya negara.

Beliau menjelaskan industri kreatif dan budaya negara yang menyumbang kira-kira 1.9 peratus atau RM28.7 bilion daripada jumlah KDNK negara dan merangkumi tenaga kerja seramai lebih setengah juta orang.

"Strategi pelaburan filem asing ke dalam negara juga menterjemahkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang memacu Malaysia sebagai hab pelaburan filem yang kompetitif dan berpotensi khususnya di rantau ASEAN dengan produk budaya unik, komersial serta bakat tempatan berkualiti tinggi.

"Penghasilan filem tempatan dengan kandungan bercirikan kepelbagaian budaya serta etnik serta pelancongan filem (film tourism) juga berpotensi tinggi bagi menjana pelaburan dalam negara.

Impak mempromosikan Malaysia melalui medium filem dengan mengambil kira penganjuran Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026 bakal menarik 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion," katanya pada Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada Rabu.

Beliau juga menjelaskan kerjasama produksi antarabangsa (Co-Pro Treaty) antara Malaysia dengan China perlu dimeterai sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2024 kerana ia merupakan platform strategik bagi menembusi pasaran filem China yang bernilai RM27 bilion.

Dalam ucapannya, Fahmi juga berkata, kejayaan 30 filem tempatan meraih anugerah dan pengiktirafan di pelbagai festival antarabangsa membuktikan 2023 adalah tahun cemerlang bagi industri sinematik negara.

Beliau berkata, pasaran perfileman domestik mencatatat kutipan pecah panggung atau 'box office' mencecah RM98.8 juta bagi 56 filem.

"Ini termasuk filem yang diarah barisan pembikin berpengalaman seperti Harum Malam arahan Dain Said; Rain Town (Tunku Mona Riza); Stone Turtle (Woo Ming Jin); Barbarian Invasion (Tan Chui Mui) dan Sumpahan Jerunei (Jason Chong).

"Selain itu, kita seharusnya berbangga dengan kebangkitan karya pembikin filem muda yang memenangi lebih 20 anugerah di festival filem antarabangsa seperti filem Tiger Stripes arahan Amanda Nell Eu.

"Naskhah itu juga mencipta sejarah menjadi filem Malaysia pertama memenangi hadiah utama Minggu Kritik Antarabangsa Cannes Ke-62.

"Filem Walid arahan Areel Abu Bakar juga membuktikan cerita aksi yang mengangkat seni persilatan Melayu mampu menarik perhatian pengedar bagi tayangan di pawagam Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 anjuran Finas bertujuan meraikan 26 penerima termasuk syarikat produksi dan penggiat industri yang melakar kecemerlangan dalam industri filem negara di dalam negara dan antarabangsa, tahun ini.

Antara penerima anugerah adalah U-Wei Saari atas pencapaian menjadi juri dan mentor di peringkat antarabangsa seperti ASEAN International Film Festival dan Asia Pacific Screen Awards dan dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif sempena Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Ke-18.

Selain itu, pelakon tersohor Datuk Ahmad Tamimi Siregar membuktikan kecemerlangan lakonan sebagai teraju utama filem Malaysia-Indonesia iaitu Perjalanan Pertama yang menobatkan beliau sebagai Pelakon Lelaki Terbaik ASEAN International Film Festival (AIFFA) di Kuching, Sarawak tahun ini.

Tidak ketinggalan, Datuk Fauziah Nawi yang dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas jasa dan perjuangan seni beliau selama lebih 50 tahun dalam industri.