KUCHING: Bandar Raya Kuching digamatkan dengan kehadiran bintang kelahiran Indonesia, Afgansyah Reza atau Afgan menerusi penganjuran Kuching Jazz Festival (KJF) 2022.

Dalam temu bual ekslusif bersama Astro AWANI pada Sabtu, selain teruja berkongsi pentas dengan artis tempatan, Afgan turut melihat festival ini sebagai penyatuan bakat serta karya dari serata dunia.

"Saya sangat berterima kasih dan teruja kerana saya dapat mempersembahkan sesuatu yang baharu buat peminat di Sarawak, terutama di Kuching.

"Kali terakhir saya di sini, saya datang berkeseorangan, tidak bersama ahli kumpulan saya dan sempat melakukan persembahan selama satu jam sahaja.

"Semoga dalam festival kali ini, persembahan saya memuaskan buat peminat. Meskipun saya ibarat duta bakat Indonesia, namun saya sangat teruja berada di sini dan mudah-mudahan lebih banyak artis Indonesia diundang ke sini," katanya.

Ditanya sekiranya pelatun lagu Terima Kasih Cinta itu ada mengintai ruang kolaborasi bersama artis tempatan, ini jawapannya beliau.

"Berkenaan kolaborasi bersama artis lokal dari Sarawak, saya sangat berminat dan bersikap terbuka untuk sebarang kolaborasi.

"Ia berlaku secara semula jadi melalui proses yang menyenangkan. Saya terbuka untuk berkolaborasi tidak kira dari mana mereka berasal.

"Saya pasti ada banyak artis hebat dari Sarawak terutamanya di Kuching ini dan saya tidak sabar mendengar karya muzik dari sini. Jadi malam ini saya berharap dapat mendengar muzik dari artis tempatan," tambah beliau.

KJF 2022 yang bermula dari 28 sehingga 29 Oktober 2022 menghimpunkan artis dari pelbagai negara di Tebingan Kuching, Sarawak.

Antaranya, Noryn Aziz (Malaysia), Phum Viphurit dari Thailand, Freyja Garbett (Australia), The Arkroyal (Singapura), Hendri Rotinsulu dan Jazmint Band (Indonesia).

Barisan artis persembahan ini turut disertai band asal Bumi Kenyalang, Ta'Dan.