Tun Mahathir dibenar pulang bermalam di rumah

Dr Mahathir perlu kembali ke IJN pada sebelah siang bagi meneruskan rawatan dan pemerhatian pasukan perubatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenar pulang bermalam di rumahnya selepas genap sebulan mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff bagaimanapun memaklumkan, Dr Mahathir perlu kembali ke IJN pada sebelah siang bagi meneruskan rawatan dan pemerhatian pasukan perubatan.
"Sejak dua hari lalu, Dr Mahathir dibenarkan "home leave" ke rumahnya di The Mines," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pasukan perubatan IJN berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan serta tindak balas Dr Mahathir terhadap langkah-langkah perubatan dan fisioterapi.
"Walaupun dibenar pulang ke rumah secara berperingkat Dr Mahathir tetap berada dalam pemantauan pasukan perubatan IJN.
"Pakar perubatan masih menasihatkan Dr Mahathir tidak menerima pelawat selain keluarga terdekat buat masa ini," katanya.
Astro AWANI pada 6 Januari lalu melaporkan Dr Mahathir dimasukkan ke IJN dan disahkan mengalami retak pada tulang pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


