Pasangan pemain selo muda dari Croatia yang menggelarkan diri sebagai 2Cellos, yang menggegarkan dunia muzik antarabangsa dengan kemahiran mereka memainkan lagu rock popular, akan membuat persembahan di Singapura pada 22 Mei ini.

Ini adalah satu-satunya konsert Luka Sulic dan Stjepan Hauser di Asia Tenggara dalam siri jelajah ke beberapa negara di rantau Asia Pasifik dan yang kedua di Singapura selepas yang pertama pada November 2011.

Selain Singapura, 2Cellos singgah di Jepun pada Mac dan Australia serta Korea Selatan pada Mei. Semua tiket untuk 11 konsertnya di Jepun habis terjual.

Sulic dan Hauser mula terkenal pada awal 2011 selepas video mereka memainkan lagu Michael Jackson, Smooth Criminal yang kemudiannya tersebar melalui jaringan media sosial Twitter dan Facebook.

Klip video itu menarik perhatian syarikat rakaman, Sony Masterworks untuk menandatangani kontrak dengan dua anak muda itu. Mereka juga kemudian mendapat undangan daripada Elton John untuk menyertai kumpulan pemuzik pengiringnya.

Lagu Smooth Criminal itu kemudian mereka rakamkan semula album sulung 2Cellos yang terbit pada Julai 2011. Album itu juga menampilkan lagu-lagu popular U2, Sting, Nirvana, Coldplay, Muse dan Guns N' Roses.






Album itu kemudiannya menduduki tempat teratas carta US Billboard bagi kategori album klasik dan mendapat pujian pengkritik.

Album keduanya yang bertajuk In2ition terbit pada Januari 2013. Album itu menampilkan penyanyi dan pemuzik undangan termasuk Elton John, Steve Vai dan Lang Lang.

Pasangan pemain selo muda ini tidak hanya mahir memainkan gubahan klasik seperti muzik ciptaan Johann Sebastian Bach tetapi juga memukau apabila memainkan lagu rock AC/DC.