VOKALIS kumpulan May, Mus tidak merasa bimbang bekerjasama dengan kumpulan XPDC dalam Konsert May VS XPDC 'Rentap Kasi Sentap'.

Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 47, berkata, walaupun XPDC pernah berhadapan dengan beberapa kontroversi pepecahan sebelum ini, May tidak mempunyai masalah untuk berkongsi pentas dengan kumpulan rock itu.

“Kontroversi perpecahan XPDC tidak menjejaskan May. Tetapi kami harap mereka akan buat yang terbaik. Saya rasa peminat mereka pun faham dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Mus, kumpulan May juga pernah melalui fasa perpecahan walaupun sudah lama mengenali antara satu sama lain.

“Sedangkan antara ahli keluarga boleh bergaduh, inikan pula dalam sebuah band. Saya sendiri pernah keluar dari kumpulan May, tetapi sewaktu kemunculan album Sinar saya cakap dengan ahli kumpulan kita stay sahaja sama-sama walau apa pun yang terjadi.

“Kalau kami bergaduh, itu lumrah dalam sesebuah kumpulan muzik. Kami dah lalui perkara ini bertahun-tahun dan banyak benda sudah ditempuhi, jadi lebih baik bersikap positif sahaja.

“Pada saya setiap orang ada kerenah masing-masing kerana, ini satu kehidupan. Tak mungkin kita akan jumpa perkara yang semuanya okay sahaja,” ujarnya.

Jalan penyelesaian

Tambah Mus lagi, setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian.

“Sebenarnya jika timbul masalah kita perlu cari jalan penyelesaian dan jika tidak boleh settle kita positif. Tidak guna bertelingkah,” katanya.

Dalam pada itu, Mus mengakui tiada masalah dengan sambutan Konsert May VS XPDC 'Rentap Kasi Sentap' ini pihak penganjur telah membuat persiapan rapi.

“Rasanya peminat May dan XPDC di negeri Johor dan Singapura memang ramai kerana jika di Johor Bahru sendiri peminat dari Melaka serta Negeri Sembilan turut akan turun. Mungkin juga akan ada peminat dari Pulau Pinang dan negeri-negeri lain juga akan datang ke konsert kami.

“Setakat ini dengan perancangan rapi pihak penganjur, saya tidak rasa konsert ini akan bermasalah," katanya.

May dan XPDC bakal membawakan 12 buah lagu selain mengadakan gimik istimewa buat para peminat yang hadir.

Konsert May VS XPDC 'Rentap Kasi Sentap' akan mengadakan siri jelajah di Muar, Kluang Mall (22 April), Segamat Mall, Kip Mart Masai (23 April dan Pasir Gudang (24 April). Harga tiket RM700 (VVIP), RM100 (Rockzone), RM50 dan RM30.

Sebarang info mengenai tiket boleh dilakukan menerusi talian 016-916 0809 atau 07-232 8634.