awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Bas ekspres bawa 42 penumpang terlibat kemalangan dengan lori
Kanak-kanak lemas di Batu Rakit: Mayat Muhammad Zarif ditemukan 6km dari lokasi hilang
Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat, 41 PPS dibuka - JPBN
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Konsistensi: Rahsia senyap di sebalik legasi tiga dekad Siti Nurhaliza

Madiha Abdullah
Madiha Abdullah
10/01/2026
13:53 MYT
Konsistensi: Rahsia senyap di sebalik legasi tiga dekad Siti Nurhaliza
Konsistensi menjadi tulang belakang kepada kemampuan Siti Nurhaliza mengekalkan legasi.
APABILA nama Datuk Seri Siti Nurhaliza disebut, pujian lazimnya akan segera singgah pada dua perkara: bakat luar biasa dan personaliti yang memikat hati. Dua elemen ini sememangnya tidak dapat dinafikan. Kehebatan suara serta santun lakunya menjadikan beliau bukan sekadar penyanyi, tetapi sebuah jenama gah dalam landskap muzik tanah air.
Namun, di sebalik naratif besar tentang bakat dan karisma, ada satu faktor penting yang jarang dijadikan tajuk perbincangan, iaitu konsistensi. Faktor inilah yang secara senyap tetapi ampuh, menjadi tulang belakang kepada kemampuan Siti Nurhaliza mengekalkan legasi sehingga memasuki dekad ketiga kerjayanya.
Pada usia 46 tahun, satu angka yang bagi sesetengah artis dianggap sebagai fasa memperlahankan rentak, Siti Nurhaliza masih menunjukkan produktiviti yang mengagumkan. Hampir setiap tahun, peminat disajikan dengan lagu baharu. Setiap dua atau tiga tahun pula, hadir album penuh, bukan sekadar kompilasi sisa, tetapi karya yang digarap dengan teliti. Tidak ada tanda-tanda keletihan kreatif, jauh sekali rasa jemu untuk terus berkarya.
Lebih signifikan, rentak ini bukan fenomena baharu. Sebelum kelahiran puteri sulungnya, Siti Aafiyah pada 2018, hampir tidak ada satu tahun pun yang berlalu tanpa buah tangan daripada Siti Nurhaliza.
Dalam era digital yang sering mencipta jurang antara generasi, Siti Nurhaliza sekali lagi menunjukkan kebijaksanaan strategik. Hampir setiap akaun media sosial miliknya 'bernyawa'. Kandungan dikemas kini secara berkala, sesi siaran langsung berlangsung hampir setiap hari, dan interaksi dengan peminat berlaku secara dua hala, tulen, spontan dan tidak dibuat-buat.
Beliau tidak menjadikan usia sebagai alasan untuk menjauhkan diri daripada dunia digital. Hakikat bahawa usianya hanya berbaki beberapa tahun sebelum menjengah angka lima tidak pernah dijadikan justifikasi untuk berundur daripada medium yang kini menjadi nadi komunikasi generasi baharu.
Lebih menarik, statusnya sebagai penyanyi nombor satu negara juga tidak dijadikan tembok pemisah. Jika mahu, beliau sebenarnya tidak perlu pun aktif. Namanya tidak akan tenggelam, walaupun tanpa kehadiran harian di skrin kecil.
Tetapi Siti memilih jalan yang berbeza.
Apa maknanya semua ini? Maknanya, Siti Nurhaliza accessible. Hadirnya beliau melalui karya baharu yang terus relevan dan melalui media sosial yang menjadikan jarak antara idola dan peminat semakin rapat. Peminat lama terus setia, manakala peminat baharu, khususnya anak muda yang mungkin kurang cenderung kepada muzik tempatan, menemukan 'pintu masuk' kepada figura Siti Nurhaliza melalui kandungan digitalnya.
Dalam konteks ini, Siti tidak sekadar menyanyi untuk pendengarnya, tetapi berkomunikasi dengan mereka. Beliau memahami bahawa legasi tidak boleh hanya disandarkan pada sejarah lampau; ia perlu diraikan dan dipupuk dalam masa kini.
Ironinya, dalam industri yang sama, terdapat artis yang jauh lebih muda usianya, bukan sahaja sukar mengeluarkan karya baharu, malah hampir ghaib di media sosial. Proses promosi hasil sendiri pun kelihatan dipaksa dan sekadar cukup syarat. Entah apa yang difikirkan; mungkin terlalu menjaga eksklusiviti, mungkin juga terlalu selesa dengan gema populariti sementara.
Perlu diingat, dengan ratusan figura baharu muncul setiap tahun, bakat tanpa konsistensi mungkin megah kilauannya hanya sementara. Sejarah membuktikan.
Jadi, apabila berbondong-bondong peminat memenuhi segenap ruang Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, ia bukan sekadar manifestasi nostalgia atau sentimen setia yang diwarisi sejak era kaset dan cakera padat. Ia adalah ganjaran terhadap konsistensi seorang seniman yang tidak pernah menghilang, tidak pernah memperlahankan langkah, dan tidak pernah meletakkan usia atau status sebagai alasan untuk merasa puas.
Sorakan yang bergema, lautan manusia yang berhimpun, dan emosi yang melimpah bukan terhasil dalam sekelip mata. Ia dibina sedikit demi sedikit, tahun demi tahun, melalui komitmen, lagu-lagu baharu, kehadiran yang berterusan, dan kesediaan untuk sentiasa relevan dalam dunia yang sentiasa berubah.
Adakala legasi bukan sekadar dikenang, tetapi terus diraikan. Bukan hanya disanjung dari jauh, tetapi dirasai dekat. Dan malam ini, legasi itu tidak berdiri sendirian. Ia disambut oleh puluhan ribu bukti bahawa konsistensi, apabila digandingkan dengan bakat dan keikhlasan, mampu menjadikan seorang penyanyi abadi merentas generasi.
Topic Berkaitan
#Siti Nurhaliza
#konsert
#Stadium Nasional Bukit Jalil
#legasi 30 tahun
#muzik
#selebriti
#Biduanita Negara
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan