Penampilan duet Bradley Cooper dan Lady Gaga menyanyikan lagu hits dari filem A Star Is Born bertajuk 'Shallow' di Anugerah Oscar 2019 memukau ramai penonton.

Kedua-dua artis berkenaan yang melakonkan watak pasangan kekasih dalam filem itu mengejutkan penonton apabila menaiki pentas dari tempat duduk mereka secara tiba-tiba dan mula menyanyikan lagu “berhantu” itu.

Diiringi bersama piano yang dimainkan oleh Lady Gaga sendiri, pasangan tersebut kelihatan romantis seperti pasangan yang sedang hangat bercinta bahkan seperti terikut-ikut dengan emosi mereka.

Hal ini sekali gus mengujakan ramai peminat filem dan lagu duet tersebut, malah, mengundang pelbagai reaksi di laman sosial yang menyatakan mereka terpukau dengan persembahan itu.

Sebelum ini, berita putus tunang Lady Gaga telah tersebar dan berikutan itu ada khabar angin mengatakan bahawa penyanyi lagu Bad Romance itu mempunyai hubungan istimewa dengan Bradley Cooper.

Dalam anugerah tersebut, Cooper tercalon dalam dua kategori iaitu Pelakon Lelaki Terbaik dan Skrip Adaptasi Terbaik manakala Gaga tercalon bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Tidak lama selepas duet hebat mereka, lagu 'Shallow' dinobatkan sebagai lagu terbaik di Anugerah Oscar 2019 dalam kategori Best Original Songs.