HIBURAN
'Lagu Kahwin bukan hint tamat zaman bujang' - Hael Husaini jawab isu sudah bertunang

Hael Husaini memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan pertunangannya dengan Dayang Nurfaizah yang tular di TikTok. -Media Hiburan
PENYANYI dan komposer Hael Husaini memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai hantaran yang tular di aplikasi TikTok mendakwa dia telah bertunang bersama penyanyi, Dayang Nurfaizah.
Ringkasan AI
- Hael Husaini memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan pertunangannya dengan Dayang Nurfaizah yang tular di TikTok, dan menegaskan tiada apa yang perlu dikongsi selagi bukan datang daripada dirinya sendiri.
- Fokus utama Hael kini adalah terhadap pelancaran album baharunya, *Antonim Part 2*, yang menampilkan lagu-lagu seperti -Kahwin-, -Peluk- dan -Jari-, namun beliau menafikan lagu-lagu tersebut sebagai petunjuk kepada status peribadinya.
- Hael menjelaskan bahawa lagu-lagunya tidak bersifat peribadi tetapi meraikan pelbagai momen dalam kehidupan, dan video teaser yang dikongsi hanyalah untuk memperkenalkan konsep lagu kepada peminat.
“Tiada apa yang nak dikongsikan saat ini. Sebagai seorang artis, kita perlu menghormati dan tidak boleh menghalang apa sahaja kehendak peminat-peminat kita.
“Saya raikan sahaja apa yang mereka inginkan. Saya tidak ambil hati. Saya hanya fokus dengan kerjaya dan buat yang terbaik untuk mereka yang menyokong saya,” ujarnya.
Hael menambah, fokusnya kini hanyalah terhadap album baharu, Antonim Part 2 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Hael ditemui sejurus showcase Antonim Night di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya pada Sabtu.
Terdahulu sewaktu konsert berlangsung, buat pertama kalinya Hael berkongsi video teaser yang memaparkan tajuk-tajuk lagu yang bakal dimuatkan di dalam album berkenaan seperti ‘Kahwin’, ‘Peluk’ dan ‘Jari’.
Tiada Kena Mengena Dengan Soal Kahwin
Dalam pada itu, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) ini menafikan lagu-lagu tersebut sebagai ‘hint’ dia bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi.
“Saya hanya meraikan setiap momen indah. Saya suka bereksperimen. Sejak dahulu lagi, bagi mereka yang mengenali saya, saya ada lagu Kelentang Kelentung yang meraikan tentang kegembiraan.
“Saya ada lagu ‘Hari Ini’ yang berentak perlahan untuk hari perkahwinan. Kesemua lagu-lagu ini tidak bersifat peribadi. Ia lebih kepada saya meraikan semua acara yang ada di negara ini,” kongsinya lagi.
Turut ditanya sama ada wanita yang dipaparkan di dalam video teaser tersebut ialah cinta hatinya, Hael mempunyai jawapan tersendiri.
“Itu tiada makna apa-apa. Video tersebut hanyalah sebagai ‘teaser’ untuk para peminat tahu apakah jenis-jenis lagu yang akan keluar nanti. Seperti contoh, lagu ‘Kahwin’ itu berkisarkan tentang keraian.
“Selalunya lagu-lagu perkahwinan ini agak syahdu. Namun, saya memilih pendekatan lagu yang lebih meraikan pasangan berkahwin.
“Saya nak perkahwinan itu jadi sesuatu yang menyeronokkan. Lagu ‘Peluk’ pula berkisarkan tentang hubungan jarak jauh dan terpisah lama.
“Lagu-lagu yang saya muatkan dalam Antonim Part 2 sangat menarik. Anda wajib dengar nanti,” akhirinya.
Sejak minggu lalu, tular di aplikasi Tik Tok foto yang memaparkan kononnya Dayang Nurfaizah sudah selamat bertunang dengan cinta hatinya.
Malah, rata-rata netizen menyifatkan individu tersebut ialah Hael Husaini susulan hubungan baik di antara mereka kebelakangan ini. -Media Hiburan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami