Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada KUSKOP untuk membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
- Peruntukan akan disalurkan secara terancang bagi memastikan manfaat dinikmati secara menyeluruh oleh penjaja dan peniaga kecil.
- Penilaian pendapatan penjaja dan peniaga kecil akan dibuat untuk memastikan bantuan kerajaan memberi kesan kepada kumpulan sasar.
KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyaluran peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk diselaraskan bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
Beliau berkata, peruntukan itu perlu disalurkan secara terancang bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati persatuan penjaja dan peniaga kecil secara menyeluruh.
"Mulanya saya ingat hendak umum RM100,000 sahaja, itu sudah banyak tetapi saya fikirkan ada berapa ratus ribu penjaja, berapa syarikat ada, berapa gerai ada, berapa persatuan seluruh negara, jadi atur kita baik-baik.
“(Kerajaan) bantu supaya tiap tahun kita ada peningkatan pendapatan penjaja dan peniaga,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Hadir sama, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Datuk Zainal Abidin Abd Majid.
Sehubungan itu, Anwar turut meminta penilaian dibuat terhadap perkembangan pendapatan penjaja dan peniaga kecil, khususnya dengan membandingkan pencapaian dalam tempoh tiga tahun lalu dengan tahun ini.
Katanya, penilaian itu penting bagi mengenal pasti kelemahan dan kekurangan dalam pendekatan sedia ada, sekali gus memastikan bantuan kerajaan benar-benar memberi kesan kepada kumpulan sasar.
Beliau berkata, usaha membantu penjaja dan peniaga kecil bukan sahaja dapat meningkatkan taraf ekonomi golongan berkenaan, malah memberi manfaat kepada ekonomi domestik negara.