Penyanyi dan penggubah lagu terkenal Ed Sheeran berhadapan dengan saman bernilai AS$20 juta (RM81 juta) apabila didakwa menciplak lagu nyanyian penyanyi Matt Cardle.

Para penggubah lagu Amazing yang diterbitkan pada tahun 2011 mendakwa lagu tersebut diekploitasi menerusi lagu popular Sheeran pada tahun 2015, Photograph.

Menurut Sky News, saman pelanggaran hakcipta itu difailkan oleh Martin Harrington dan Thomas Leonard, yang mendakwa Photograph mempunyai susunan muzik yang serupa dengan Amazing dan sebahagiannya ditiru nada demi nada.

Photograph laris dalam industri muzik dengan 3.5 juta salinan terjual di seluruh dunia, menjadi lagu runut bunyi bagi filem Me Before You, dan mencatat lebih 200 juta tontonan di YouTube.

Harrington dan Leonard menuntut bayaran ganti rugi, royalti, dan juga perbicaraan di hadapan juri.

Matt Cardle merupakan pemenang pertandingan nyanyian X-Factor UK musim ketujuh pada tahun 2010. Kumpulan pop One Direction mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.

Peminat sokong Sheeran

Netizen yang meminati Ed Sheeran menolak dakwaan tersebut di media sosial dan menganggap penggubah lagu berbakat sepertinya mustahil menciplak.

Ada juga yang mempersoalkan mengapa hanya kini Cardle mengambil tindakan undang-undang kerana lagu Photograph sudah ke udara sejak 2015.


Namun ada juga peminat muzik yang menerima bahawa bahagian korus Photograph mempunyai banyak persamaan dengan Amazing.