ENTERTAINMENT
Lagu raya generasi baharu, di mana nilai dan kualitinya?

Keaktifan penghasilan lagu raya baharu oleh karyawan memberi petanda positif namun dari satu sudut lain, ia membawa persoalan mengenai kualiti.
SEPERTI mana tidak lengkapnya juadah rendang tanpa nasi impit dan ketupat, begitulah juga kosongnya sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa dendangan lagu raya.
Beberapa tahun lalu, Malaysia pernah melalui fasa 'terperangkap dalam terowong masa' apabila lagu raya baharu dan moden amat sukar diterima masyarakat.
Seiring kecanggihan teknologi dan media sosial khususnya TikTok, penggiat seni mendapat manfaat apabila mereka mudah menerobos pasaran massa hanya dengan mengambil kira trend yang paling popular.
Di telinga mereka yang bukan profesional, penghasilan lagu raya sejak beberapa tahun kebelakangan ini kedengaran mudah - melodi yang ceria dengan frasa yang mudah dihadam, didatangkan dengan muzik video berwarna-warni serta koreografi yang mudah diikut dan diingati, maka terhasillah sebuah masterpiece lagu raya era baharu.Dari satu sudut, keaktifan penghasilan lagu raya baharu oleh karyawan memberi petanda positif bahawa industri muzik hidup dan bernyawa. Namun dari satu sudut lain, ia membawa persoalan mengenai kualiti.
Untuk membuat perbandingan lagu raya lama dan baharu mungkin sudah tidak relevan. Apa lagi zaman sudah berubah, perbandingan dulu dan sekarang menjadi isu yang tidak patut diperkatakan.
Namun kualiti sesebuah karya tidak seharusnya menjadi hak milik satu era atau zaman sahaja. Kualiti lagu raya malar segar dari era terdahulu terlihat sangat jelas. Tidak perlu kefahaman yang tinggi tentang muzik, fakta bahawa lagu-lagu tersebut masih dimainkan sehingga hari ini sudah cukup untuk menerangkan tahap kualitinya.
Bukan itu sahaja, lagu-lagu yang dihasilkan itu bukan saja pelbagai dari sudut genre, mesej dan tema, malah ia disulam dengan penceritaan serta pengunaan bahasa yang indah, meletakkannya bukan saja sekadar lagu yang menjadi hiburan, malah khazanah yang tinggi nilai seninya.
Lantas ia menimbulkan persoalan, di mana letaknya kualiti lagu raya era baharu? Apakah ia dihasilkan hanya dengan alasan “sekadar hiburan”? Jika jawapannya ya, adakah kita semua, termasuk pendengar, harus berpuas hati menerima bahawa lagu raya hari ini bukan lagi tentang kualiti, sebaliknya hanya berpaksikan populariti dan trend?
Komposer dan penyanyi muda yang sedang meningkat naik, Aisha Retno berpendapat, tidak ada satu ramuan khusus untuk menghasilkan lagu raya, namun secara peribadi merasakan lagu raya perlu memiliki sedikit unsur tradisi yang sinonim dengan masyarakat Melayu dan sambutan Aidilfitri.
“Lagu bagaimana yang digemari sebenarnya terletak pada citarasa dan pilihan masing-masing. Kalau ada idea yang segar, mengapa tidak?
“Tetapi secara peribadi, saya berpendapat lagu raya memerlukan gabungan unsur tradisi kerana secara umumnya, ia lebih digemari dan mudah diterima segenap lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ujar Aisha, adalah penting untuk mengenal pasti apakah 'faktor X' yang membawa sesebuah lagu raya itu diterima dan menjadi siulan ramai.
“Sebagai pencipta lagu, kita boleh ambil inspirasi daripada pelbagai sumber tapi seboleh mungkin, kita perlu juga hormati bagaimana ‘bunyi’ sebuah lagu raya.
“Jadi ambillah masa untuk belajar dan mengkaji sebelum menghasilkan sesebuah lagu. Jangan hanya fikir tentang adakah ia akan popular atau tidak, viral atau tidak,” katanya yang mengambil masa setahun untuk merealisasikan Ketipak Ketipung Raya, yang merupakan antara lagu raya baharu paling popular masa kini.
Bagaimanapun jelas Aisha, perbezaan dalam bunyi serta rasa moden yang ada dalam lagu-lagu raya era baharu sebenarnya mampu menjadi kelebihan dan memberi kekuatan tersendiri.
“Anak muda teruja keluarkan lagu raya baharu, itu petanda baik dan satu yang perlu kita hormati. Nak hasilkan lagu raya bukan mudah sebab kita ada khalayak yang menunggu, dengan jangkaan yang tinggi, mahukan lagu raya baharu setanding yang lama,” tegasnya.
Kata Aisha, dia berpendapat kualiti dan nilai sesebuah lagu boleh diukur menerusi penerimaan khalayak kerana sebuah karya seni itu dihasilkan dengan matlamat untuk menjadi santapan telinga pendengar.
“Seperti lagu-lagu lain juga, penerimaan orang ramai atau mass market itu penting. Kalau orang ramai boleh terima lagu tersebut, maksudnya ia sedap di telinga mereka dan kemudiannya menjadi tular, bagi saya itulah ukuran nilai dan kualitinya.
“Jangka masa lagu raya sangat singkat, hanya sebulan saja. Mungkin sebab itu semua artis berpusu-pusu keluarkan lagu dalam masa yang sama dan berharap apa yang mereka keluarkan itu diminati.
“Dalam masa yang sama, saya percaya artis juga mahu hasilkan satu karya yang baik tanpa merosakkan intipati sebuah lagu raya,” katanya.
Aisha juga menyatakan kenyakinan bahawa lagu-lagu raya moden mampu menjadi malar segar seperti mana lagu raya era terdahulu, jika pendengar boleh memberikan peluang.
“Tentulah lagu raya lama masih jadi pilihan ramai kerana lagu-lagu itu sudah lama diperdengarkan, orang ramai juga sudah terbiasa mendengarnya.
“Tetapi jika lagu-lagu raya hari ini diberi peluang yang sama, 20 tahun lagi lagu-lagu ini juga akan jadi malar segar dan wajib diperdengarkan semasa sambutan Aidilfitri,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai reaksi orang ramai terhadap lagu-lagu raya baharu, kata Aisha, setiap maklum balas perlu diterima dengan hati terbuka kerana pendengar mempunyai hak untuk memberi pendapat.
“Pendek kata, pendengar adalah orang yang akan makan ketupat dan rendang yang kita hidangkan. Jadi apa saja pendapat mereka, kita hormati dan jadikan pengajaran jika perlu,”tambahnya.
Sementara itu, bagi penyanyi dan komposer Amir Jahari, memberi penilaian terhadap sesebuah lagu, termasuk lagu raya, bukan satu tugas mudah.
Ini kerana, industri muzik, seperti juga kebanyakan industri lain, mempunyai dua sisi yang mempunyai kehendak berbeza, iaitu aspek seni atau artistik, dan perniagaan.
Jelas Amir, seni secara asasnya bukanlah sesuatu yang boleh dinilai dengan mudah kerana ia bukan saja tertakluk kepada citarasa individu tetapi juga bagaimana dan mengapa karya itu terhasil.
“Kalau kita claim satu lagu berjaya kerana tontonannya tinggi, itu topik perniagaan. Tapi apabila bercakap dalam topik seni, walaupun lagu itu tontonannya tidak tinggi, tapi apabila orang mendengar, orang boleh merasa.
“Itulah beza seni dan perniagaan kerana seni bukan barang jualan, tapi ia adalah sesuatu untuk dirasa,”jelasnya.
Kata Amir, dewasa ini penerimaan orang ramai terhadap karya seni juga sudah tidak sama seperti dahulu, di mana ketika itu seni dinilai lebih tinggi berbanding aspek perniagaan.
“Zaman dahulu tak ada fikir tentang jumlah tontonan, tular atau tidak, jadi mereka menilai hasil karya hanya pada aspek seni. Penghargaan orang zaman dahulu terhadap seni sangat luar biasa," tegas Amir.
Ujarnya, penggiat seni secara amnya perlu mengambil tanggungjawab untuk menghasilkan karya yang bukan saja mampu menambat hati pendengar tetapi juga mempunyai nilai seni yang tinggi.
“Saya sendiri pernah ‘tergelincir’. Kos menghasilkan sebuah lagu bukan murah, jadi saya fikir lagu yang saya hasilkan perlu diminati ramai.
“Tapi alangkah sedihnya jika kita terus berfikiran sedemikian, kerana satu hari seni akan semakin hilang, dan yang semakin berkembang ialah aspek perniagaan saja," katanya.
Dalam masa yang sama, Amir meletakkan kekuatan lagu raya pada cara bagaimana ia diterima dan dinikmati pendengar, apatah lagi dengan perubahan zaman yang menyaksikan sambutan hari raya juga sudah berubah.
“Kefahaman terhadap intipati liriklah yang menjadikan sebuah karya itu relatable, seterusnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh pendengar.
“Kebiasaannya, apabila saya hasilkan lagu, saya akan terapkan kebiasaan atau familiarity. Sebab itu penting juga untuk kita kaji lagu-lagu raya yang sudah berjaya, seperti lagu-lagu dendangan Datuk M.Nasir, Tan Sri P.Ramlee dan Datuk Sharifah Aini, sebelum hasilkan lagu dengan gaya saya sendiri,”ujarnya.
Tambahnya lagi, dengan sifat muzik yang universal, tidak ada salahnya bereksperimentasi namun pengkarya juga perlu berhati-hati dan mengambil kira aspek sensitiviti dan kecenderungan budaya tempatan, bagi membolehkan lagu yang dihasilkan diterima segenap lapisan masyarakat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami