Syarikat rakaman Aries Music, melalui pembabitannya dalam industri rakaman, julung kali menggabungkan enam orang penyanyi popularnya bagi mendendangkan sebuah lagu hari raya bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menerusi kenyataan media yang diedarkan, syarikat penerbit muzik itu berkata, lebih istimewa lagi persembahan lagu oleh artis yang terdiri daripada Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Fara Hazel, Fieya Julia, Luqman Faiz dan Yazid Izaham itu merupakan ciptaan komposer lagenda lagu-lagu melayu deli.

Karya berkenaan merupakan ciptaan komposer veteran, S. Atan dengan sentuhan lirik, penyanyi dan pemuisi yang tidak asing dalam industri muzik tanah air, Siso Kopratasa.

"Ia adalah kolaborasi yang mantap menggabungkan sentuhan 'orang lama' dengan artis generasi popular terkini bagi mengimbau kenangan lagu-lagu melayu yang berentak asli dan tradisional dengan gubahan muzik kontemporari.

"Kami menjangkakan dengan pengikut yang ramai di media sosial artis-artis kami ini di tambah dengan langganan tetap berjumlah lebih 1 juta pengikut di akaun YouTube Aries Music, lagu ini dapat dikembangkan menjadi sebuah lagu yang popular dikalangan generasi muda khususnya masyarakat Malaysia amnya,” kata kenyataan itu.

Lagu yang diberi judul Suasana Hari Lebaran itu kini boleh mula didengari di semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, We7, Deezer, Grooveshark dan Youtube.

Menurut syarikat rakaman itu, ini merupakan sumbangan istimewa pihaknya bagi memeriahkan suasana hari raya meskipun negara ketika ini sedang berperang dengan pandemik COVID-19.