Pelakon Hollywood Lindsay Lohan dijatuhkan hukuman menjalani rawatan selama 90 hari di pusat pemulihan tertutup atas kesalahan menipu pihak polis.

Perintah itu adalah sebahagian daripada perjanjian rayuan sebelum pelakon bermasalah dari Amerika Syarikat itu dibicarakan.

Penyanyi berusia 26 tahun itu telah hadir ke mahkamah dan selepas satu jam bersidang, beliau telah dijatuhkan hukuman untuk tempoh percubaan selama dua tahun atas kejadian kemalangan kereta di Santa Monica pada Jun 2012.

Perjanjian itu juga menggariskan bahawa Lohan harus melakukan kerja komuniti selama 30 hari di New York atau tempat tinggalnya sekarang, serta harus menjalani sesi psikoterapi selama 18 bulan.

Perjanjian itu juga menetapkan hukuman penjara 180 hari terhadapnya kerana melanggar syarat-syarat pemerhatian seliaan.

“Pusat pemulihan tertutup bermaksud tiada pelawat, tidak boleh meninggalkan tempat itu dan kamu perlu menjalani program itu selama 90 hari sehingga tamat,” kata Hakim James Dabney.

“Kamu faham dan terima semua syarat?” tanya Dabney.

“Ya,” kata Lohan yang memakai baju berwarna putih dan tidak memakai sebarang solekan.

Hakim mengarahkan peguam Lohan yang beliau perlu membuktikan penyanyi itu tidak mengambil alkohol dan dadah.

Peguamnya juga harus membuktikan bahawa Lohan tidak mengambil bahan narkotik atau sebarang dadah terkawal yang boleh memudaratkan kesihatannya.

Perbicaraan berlangsung selepas kejadian kemalangan membabitkan kereta Porsche yang dipandu Lohan yang melanggar sebuah trak di Lebuhraya Pacific Coast.

Pada mulanya Lohan mendakwa beliau hanyalah penumpang di dalam kereta itu, tetapi siasatan menunjukkan bahawa beliau adalah pemandu kereta tersebut.