KUALA LUMPUR: Pengarah Syamsul Yusof mengakui filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tidak sempurna biarpun sudah lima minggu berada di takhta carta pecah panggung filem di Malaysia.

Namun dalam masa yang sama, Syamsul berpendapat undang-undang dan peraturan dalam pembikinan filem harus dilihat dari sudut subjektif kerana sifat seni itu sendiri.

"Filem abang tak sempurna kalau ikut laws and rules of film making. I break all the rules just to please all of you Malaysian audience.

"In fact, siapa yang buat laws in film making? Maaf bertanya, siapa ya? Saya tak setuju. Seni itu indah dan amat subjektif pada semua.

"Abang tak pandai. Tapi film makers should follow their heart, not the book. Dan abang percaya, Allahyarham P. Ramlee juga begitu, di mana beliau berkarya mengikut hati seninya," tulis Syamsul di Instagram.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang sudah 33 hari ditayangkan, kini mencatat kutipan RM90 juta, sekali gus menjadi filem dengan kutipan tertinggi di negara ini, mengatasi Avengers: End Game yang mengutip RM87 juta.

"Saya dan seluruh team amat terharu. Terima kasih penonton masih terus memberi kepercayaan pada karya kali ini dan kesemua filem saya sebelumnya. Sejak dari filem pertama hingga sekarang. Insya-Allah, semoga terus diberi ilham untuk filem akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Telah terbukti beberapa kali, karya filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri. Ini harapan baharu sinema tempatan dan buat semua anak seni tanah air. Ayuh semua pengkarya filem, ayuh bersatu demi kita sama-sama majukan industri seni Malaysia," katanya.

Sejak mula ditayangkan pada 23 Jun lepas, filem yang diinspirasikan daripada sejarah tanah air itu telah berjaya menjadi antara perbualan utama di media sosial selain membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu ketika hadir ke pawagan.

Filem yang melibatkan kos RM8 juta itu dibarisi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon Indonesia yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian.