SABAN hari, semakin banyak maklumat dan kisah-kisah mengejutkan didedahkan di mahkamah dalam perbicaraan kes saman fitnah melibatkan dua selebriti popular Hollywood, Johnny Depp dan Amber Heard yang sedang berlangsung di Fairfax, Virginia, Amerika Syarikat.

Terbaharu, memetik laporan Geo News, seorang pengawal peribadi kepada Depp mendedahkan kepada mahkamah bahawa aktor tersebut pernah beberapa kali ‘dipukul’ bekas isterinya itu malah meninggalkan kesan lebam dan bengkak pada tubuh Depp.

Ketua pengawal peribadi Depp, Sean Bett yang tampil memberikan keterangan turut mendakwa Heard sering melakukan serangan fizikal terhadap suaminya itu ketika perkahwinan mereka sedang goyah.

Beberapa kes didedahkan Bett dan salah satunya, Heard didakwa pernah memukul Depp - sehingga meninggalkan kesan lebam di mata - ketika pasangan itu sedang menaiki kereta api mewah, Orient Express sewaktu berbulan madu.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada tahun 2015 ketika kereta api tersebut sedang dalam perjalanan membawa mereka ke Malaysia.

Dua tahun lepas, Mahkamah Tinggi Britain turut mendedahkan sekeping foto dengan muka Depp dalam keadaan lebam ketika khabar angin bertiup kencang mengatakan dia ditampar bekas isterinya itu.

Untuk rekod, Heard dan Depp bercerai pada tahun 2016.

Bintang Pirates of the Caribbean itu menyaman Heard sebanyak AS$50 juta atas alasan telah menjatuhkan reputasinya dan menyebabkan kehilangan kontrak berlakon bernilai berjuta-juta dolar.

Heard pula mendakwa Depp seorang kaki pukul dan dia adalah mangsa keganasan rumah tangga.