PENYANYI muda Masya Masyitah mengakui anugerah yang diterimanya di Asia Music Awards di Shenzhen, China baru-baru ini membuka haluannya untuk bertapak di negara itu.

Dianugerahkan Most Potential New Artist of the Year, Masya, 19, turut memanjatkan rasa syukur atas rezeki yang diperoleh.

"Alhamdulillah, syukur pada Allah. Satu lagi trofi untuk mak ayah keluarga dan orang yang saya sayang.

"Terima kasih sebab selalu bagi semangat dan sokong saya walau dalam apa keadaan sekali pun.

"Insya-Allah perlahan-lahan untuk mencuba pasaran negara China pula.

"Buat masa sekarang pun saya sedang fokus untuk menghasilkan single berbahasa Mandarin untuk pendengar yang lebih luas," katanya kepada Gempak.

Masya yang fasih berbahasa Mandarin juga bakal muncul dengan single duet bersama penyanyi Jeryl Lee berjudul Zuo Jian (Sahabat Sejati).

Malah, dalam perkembangan sama Masya bakal mengadakan konsert bersama Jeryl sempena kedatangan tahun baru 2020 di Arena of Stars Genting Highlands pada 31 Disember ini.

Selain itu, Masya bakal melancarkan single berbahasa Melayu terbaharu menjelang awal tahun 2020.