TAHUN ini sudah 21 tahun usia filem Syukur 21. Malah tahun ini juga garis masa depan Syukur 21 mengenai Malaysia pada tahun 2021. 

Bayang hadapan atau futuristik yang digambar dalam filem ini benar-benar berlaku di mana kehidupan kita dipandu oleh teknologi digital.

Penulis Syukur 21, Farihin Fatah membayangkan suatu yang belum ada ketika filem ini dihasilkan.

Bagaimanapun, dia berjaya melakarkan bayangan masa depan yang hampir tepat pada tahun 2021.

Filem ini diarahkan oleh Eddie Pak dan diterbitkan oleh David Teo melalui syarikat Metrowelth.

Pada 21 tahun lalu tidak ada siapa menjangka gabungan David Teo, Farihin dan Eddie Pak melakukan revolusi terhadap filem tempatan.

Walaupun merupakan filem pertama Metrowelth tetapi David Teo berani melaburkan tidak kurang RM2juta untuk Syukur 21.

Walaupun filem ini tidak mencatatkan kutipan pecah panggung (box office) ketika itu tetapi yang lebih penting keberanian memberikan pendekatan yang menongkah arus dengan filem semasa.

Lebih menarik lagi Malaysia pada tahun 2021 berlatarkan masyarakat Islam yang berteknologi tinggi.

Syukur 21 telah membawa pembaharuan dari segi genre  furutistiknya.  Ini merupakan filem tempatan pertama yang membawa genre sedemikian. 

Barangkali, filem ini lahir tidak kena dengan masanya di mana ketika  itu industri filem tempatan penuh dengan filem bercorak cinta.

Tidak hairanlah Syukur 21 kelihatan amat asing dengan arus perdana filem tahun 2000. Dalam fenomena  penyanyi popular ditawarkan menjadi pelakon, Syukur 21 membuat perkara yang sama tetapi mengambil sebuah kumpulan nasyid, Raihan yang popular hingga ke luar negara.

Antara pelakon lain yang menjayakan filem ini ialah Norzizi Zulkifli, Yassin daripada kumpulan Brothers, Mustahpa Kamal dan Yank Kassim.

Syukur 21 memberikan sesuatu yang baharu pada zamannya yang sepatutnya diteruskan oleh banyak filem tempatan yang lain.

Bagaimanapun, genre futuristik itu terhenti di situ sahaja. Begitu juga dengan penerokaan untuk memaparkan kemajuan Islam bukan sahaja agama tetapi kehidupan yang tidak menjadi keutaaman dalam filem tempatan.

Jangan terkejut filem yang diterbitkan oleh seorang bukan Islam ini adalah filem patuh syariah pertama dalam sejarah lapan dekad filem tempatan.

Barangkali David Teo melihat pasaran penonton Islam ketika menghasilkan filem ini. 

Walaupun percaturannya tidak berjaya tetapi usahanya selari dengan pemupukan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

Sepatutnya filem tempatan yang diterbitkan oleh penerbit Islam dan diarahkan juga oleh pengarah Islam melangsungkan gagasan awal yang dimulakan oleh David Teo. 

Soal ini bukan sahaja mengejar pasaran tetapi tanggungjawab karyawan filem memberikan nilai yang baik menerusi filem, salah satunya patuh syariah. 

Tambahan pula filem yang patuh syariah tidak memerlukan belanja tambahan di segi produksi dan pelakon.

Dalam filem Syukur 21, tidak ada pelakon wanita yang mendedahkan aurat, sementara pergaulan watak lelaki dan wanita juga sangat terkawal - tidak ada bersentuhan walaupun berlakon sebagai suami isteri.  

Ini kerana filem patuh syariah merangkumi semua, adab, tata susila, aurat, syariah dan akidah.

Melihat Syukur 21 dua dekad kemudian adalah retrospektif atau menoleh sesuatu yang bernilai pernah dihasilkan dalam industri filem tempatan. 

Retrospektif ini penting supaya yang bernilai itu dapat diapungkan selepas tertinggal jauh dalam garis masa lalunya. Barangkali, ketika filem ini dihasilkan, banyak yang hanya melihat filem sebagai filem.

Kalau filem sebagai filem tentulah banyak yang perlu diperbaiki  dalam Syukur 21. Tetapi tidak semua filem  yang berperanan sebagai rujukan sosial melihat sudut teknikal atau naratif semata-mata. 

Nilai-nilai yang terlindung misalnya patuh syariah dan kaitan rapat Islam dengan kemajuan teknologi juga penting diangkat dan dibincangkan.

Kalau melihat dengan lebih dalam terutama  wacana yang hendak dilontarkan, Syukur 21  menjawab  tuduhan-tuduhan tidak berasas Barat yang selalu mengaitkan Islam dengan kemunduran dan keganasan. 

Kalau filem ini berjaya ditayangkan di Barat, wacana ini sampai kepada sasaran.

Syukur 21 tidak mengkritik Barat secara keras tetapi menyelitkan dengan watak Kamal lakonan Mustapha Kamal seorang pakai teknologi digital yang hidup mewah  di Amerika Syarikat (AS) tetapi hilang akar budaya dan agamanya. 

Dia meninggalkan ibunya dan anaknya tanpa menjengahnya selama 30 tahun.

Ini memperliatkan Kamal dibentuk oleh persekitaran yang longgar institusi keluarga di Barat. Kamal seorang yang lemah membiarkan diri dibentuk oleh persekitaran yang bertentangan dengan agamanya.

Seperkara lagi mesej Syukur 21 kepada Barat apabila membangunkan Raudah dengan masyarakat yang berakhlak tinggi,  mahir teknologi tetapi tidak menjadikan keganasan sebagai satu cara hidup.

Kehidupan di Raudah amat harmoni, kaya dengan nilai kemanusiaan dan tidak membelakangkan tuntutah dunia apabila membangunkan sistem teknologi digital yang terkini.

Sementara itu salah seorang pelakon kanak-kanak dalam filem ini, Ku Amirul Faiz yang ketika itu berusia 11 tahun berkata, filem itu meninggakkan kenangan manis kerana pertama kali mendapat pengalaman berlakon. 

Lebih teruja lagi berlakon dengan ahli-ahli kumpulan Raihan yang amat diminatinya.

Wajah terbaharu Ku Amirul Faiz (kanan) dan semasa membintangi filem Syukur 21.


Ku Amirul Faiz kini seorang peguam berusia 32 tahun berkata, dia datang sendiri menjalani uji bakat di pejabat Metrowealth di Subang  dan diberi watak Aman anak kepada pelakon Yank Kassim. 

Sebelum berlakon Syukur 21, Ku Amirul telah berlakon beberapa teater kanak-kanak bawah bimbingan Sudiro dan Ladin Nuawi.

Dia juga pernah menjadi pengacara kanak-kanak dalam program Satelit di Astro dan pengacara program Ikan Kikik di TV3.

“Berlakon Syukur 21 satu pengalaman menarik kerana saya lebih banyak berlakon teater kanak-kanak dan mendeklamasi puisi. Tetapi disebabkan sibuk dengan pengajian, semua bidang itu tidak dapat diteruskan,”  ujar Ku Amirul Faiz yang kini merupakan aktivis  beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).