JIKA mautku datangnya awal; Engkau maafkanlah aku; Kalau aku kurang baik dalam menjagamu; Dan kalau aku pernah berbuat khianat padamu..

"Jika mautku datangnya awal; Kau jagalah yang lima itu; Kerana itu adalah tanda; Yang engkau itu hamba..


Ini antara bait-bait puisi oleh DJ Nazz, atau nama sebenarnya Nazrin Nordin, yang seolah-olah menterjemah apa yang dilalui oleh kebanyakan individu yang kehilangan orang yang tersayang akibat COVID-19.

Menurut Nazz, puisi yang dikongsikan menerusi laman Instagram itu adalah hasil karya yang tercetus 10 tahun lalu.

Namun, dia terdetik untuk mendeklamasi dan berkongsi bersama orang ramai selepas turut sama terkesan dengan pemergian Allahyarham Siti Sarah Raisuddin baru-baru ini.

“Sebenarnya penulisan itu saya tulis untuk didedikasikan kepada isteri saya, namun baru sekarang saya kongsikannya kerana ia diibarat mentafsirkan apa yang dilalui oleh Shuib (suami Siti Sarah) pada ketika ini,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.


Jelas Nazz yang juga penyampai radio Gegar FM, puisi yang bertajuk “Jika Mautku Datangnya Awal” itu boleh mempunyai pemahaman berbeza bagi setiap orang.

“Ketika pandemik COVID-19 ini, kita semua berkemungkinan lebih terdedah untuk berdepan kehilangan orang yang tersayang.

“Ada juga kemungkinan yang kita boleh mati awal, jadi pokok tulisan itu adalah tentang ketentuan, jadi macam mana pahit sekalipun keadaan, kita kena terima perkara itu.

“Macam mana pahit pun takdir yang perlu Shuib lalui, Shuib perlu faham bahawa benda ini adalah ketentuan.

“Malah saya beranggapan, jika Allahyarham masih dapat menyuarakan sesuatu ketika ini, saya fikir itu yang akan diungkapkan oleh Siti Sarah apabila melihat Shuib berada dalam keadaan sedih,” jelasnya lagi.

Namun, tambah Nazz, apa-apa sekali pun, penulisan itu tidak ditujukan kepada sesiapa yang terlibat namun secara amnya dia mendedikasikannya kepada semua yang kehilangan insan tersayang akibat COVID-19 yang terus mengganas ketika ini.

Video penulisan yang menyayat hati berdurasi selama satu minit 51 saat itu mendapat tontonan lebih 7,000 penonton sejak ia dimuat naik pada Selasa.