MIC minta Finas tidak asingkan kategori filem berdasarkan bahasa

Bernama
Ogos 8, 2016 03:52 MYT
DR SUBRAMANIAM: Industri perfileman perlu menjadi contoh kepada industri lain untuk menyatukan rakyat Malaysia. - Gambar fail
Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) supaya tidak memisahkan kategori filem yang dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia (FMM) 2016.
Beliau berkata industri perfileman perlu menjadi contoh kepada industri lain untuk menyatukan rakyat Malaysia.
"Mengapa mengasingkan. Jangan wujud pengasingan dalam budaya, sukan dan bidang lain yang menjadi medium perpaduan," katanya kepada Bernama.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan diminta mengulas mengenai keputusan Finas dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia mewujudkan kategori filem dalam bahasa Malaysia dan bukan dalam bahasa Malaysia untuk dipertandingkan pada festival kali ini.
Filem 'Ola Bola' dan 'Jagat' yang dicalonkan bagi kategori filem terbaik bukan dalam bahasa Malaysia telah menimbulkan bantahan sebilangan penggiat filem tempatan.
"Ia mengejutkan filem seperti Ola Bola dan Jagat tidak dicalonkan di bawah kategori bahasa Malaysia," kata Dr Subramaniam.
BACA: 'Kami hormati Bahasa Melayu namun filem ada 'bahasanya' sendiri' - Pengarah 'Jagat'
BACA: Isu FFM28: Rahman Dahlan minta FINAS, PFM perhalusi keputusan
BACA: FFM: Tiada beza filem Bahasa Malaysia atau Bukan Bahasa Malaysia - KP Finas
Sabtu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilapor sebagai berkata beliau akan berbincang isu berkenaan dengan Finas.
#Dr S.Subramaniam #FFM28 #FINAS