KUALA LUMPUR: Kejayaan Tan Sri Michelle Yeoh pada acara Oscar 2023 masih terus menjadi bahan perbincangan dalam kalangan penggemar filem serta netizen di seluruh dunia.

Perbincangan bukan hanya terarah kepada trek rekod perjalanan seni Michelle semata-mata, sebaliknya, ada juga pihak yang menarik perhatian mengenai latar belakang pelakon itu termasuk asal-usulnya.

Antara personaliti yang menyentuh isu itu ialah pelakon ternama dari Hong Kong, Chapman To Man Chak yang menegaskan Pelakon Filem Wanita Terbaik Oscar 2023 itu merupakan rakyat Malaysia dan bukannya berasal dari negara-negara lain.

Justeru, dalam masa sama, Chapman To memberi peringatan kepada pemerintah Hong Kong agar jangan sesekali mendakwa Michelle dari negara itu.

“Satu peringatan buat kerajaan Hong Kong. Michelle Yeoh ialah rakyat Malaysia. Jangan ambil kesempatan dan mendakwa beliau rakyat Hong Kong,” kata Chapman To dalam kenyataan yang dikongsi di akaun media sosialnya, pada Isnin.

Semalam (Isnin) Michelle melakar sejarah paling gemilang dalam kerjaya seninya apabila ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023).

Pada acara gemilang yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat itu, pelakon kelahiran Malaysia merangkul anugerah berkenaan menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Kejayaan yang dilakar Michelle itu sekali gus mencatatkan namanya sebagai pelakon pertama dari Asia ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam sejarah penganjuran Anugerah Akademi sepanjang 95 tahun penganjuran.

Kenyataan Chapman To itu sebagai reaksi kepada ucapan tahniah yang dikeluarkan Setiausaha Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Hong Kong, Kevin Yeung kepada Michelle selepas aktres  kelahiran Ipoh, Perak itu meraih anugerah yang sama pada acara Golden Globe.

Sambil menyifatkan anugerah yang diraih Michelle sebagai sangat layak, Yeung  turut menggambarkan pelakon berusia 61 tahun itu sebagai ‘pelakon Hong Kong’.

“Michelle Yeoh menempa nama di dalam industri perfileman Hong Kong sebelum melebarkan kerjaya seninya ke peringkat antarabangsa dengan kerja keras dan bakatnya yang luar biasa.

“Kita sangat berbangga melihat pelakon-pelakon Hong Kong secara berterusan menyinar dalam industri filem global,” kata Yeung dipetik sebagai berkata.