SELAIN faktor pengagihan dana yang betul, penggiat seni tempatan perlu bijak dalam 'menjual' hasil karya mereka ke luar, terutama sekali membabitkan penyertaan dalam festival berskala besar.

Pengarah filem Prebet Sapu, Muzzammer Rahman berkata, aspek networking adalah perkara yang tidak begitu diberi perhatian, sedangkan ia mampu memberi impak yang sangat besar terhadap kemajuan dan pembangunan filem tempatan.

"Tidak semestinya hubungan secara langsung, tetapi hubungan dengan festival dan pembikin filem luar.

"Kita kena faham Malaysia sebuah negara yang dalam istilah perfileman, boleh dikatakan masih muda, ditambah pula kita sebuah negara yang kecil.

"Justeru, untuk membawa filem ke luar, kita memerlukan sokongan orang luar.

"Saya sendiri mendapat pendedahan melalui festival filem, di mana kali pertama saya terpilih ke Asian Film Academy di Busan pada 2013.

"Di situ saya lihat bagaimana ia membantu pembikin filem di Asia Tenggara untuk memperluaskan jaringan networking dan berkongsi idea mereka," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Khamis.

"Prebet Sapu" yang terpilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi Ke-94 tahun depan, setakat ini sudah menjengah lapan buah festival filem antarabangsa, termasuk Udine Far East Film Festival, Itali; Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia; Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada; Asian Film Festival Barcelona; Sepanyol dan Innovative International Film Festival di India.

Tambah Muzzammer, dana yang diperuntukan kerajaan untuk pembikin filem sememangnya sudah tersedia namun ia perlu bijak digunakan dan diagihkan.

Graduan Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini juga melihat jalan cerita sesebuah filem penting bagi menarik perhatian masyarakat luar terhadap filem tempatan.

"Pada mulanya, saya hanya sasarkan filem 'Prebet Sapu' untuk disiapkan dan ditayangkan untuk tontonan penonton tempatan.

"Tetapi mungkin kerana ia bercerita tentang realiti masyarakat di sini, kesukaran hidup di bandar besar dan kesunyian dalam keramaian, yang ramai orang boleh relate, saya fikir itu sebab filem ini mendapat perhatian," ujarnya.

"Prebet Sapu" yang turut menggunakan tajuk bahasa Inggeris "Hail, Driver!" akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 16 Disember depan.

Ia mengisahkan kehidupan Aman (Amerul Affendi) yang mencari rezeki di Kuala Lumpur sebagai pemandu prebet sapu.

Dalam sejarah penganjuran Anugerah Akademi atau Oscar, hanya enam filem tempatan (tidak termasuk Prebet Sapu) yang sebelum ini pernah dihantar untuk dinilai bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Kesemuanya gagal menempatkan diri dalam senarai lima calon akhir.

Filem-filem terbabit ialah "Puteri Gunung Ledang", "Bunohan", "Lelaki Harapan Dunia", "Redha" dan "Roh".


Prebet Sapu wakili Malaysia ke OSCAR