APABILA pengacara muncul dan meminta maaf ketika ratu cantik Colombia sedang meraikan ‘kemenangan’ sambil tersenyum dan melambai, para penonton mula resah. Mereka semua tahu pasti ada sesuatu yang buruk bakal berlaku.

Nyata sekali Steve Harvey, pengacara Miss Universe 2015 telah melakukan kesilapan kerana kad skrip yang ditunjukkan beliau selepas itu memaparkan nama negara Filipina sebagai pemenang gelaran berkenaan.

BACA: Pentas Miss Universe kecoh kerana salah umum pemenang

Harvey bukanlah orang yang pertama melakukan kesilapan seperti itu dalam majlis penyampaian anugerah.

Beberapa kesilapan ini membuktikan dalam siaran langsung yang terpapar di kaca televisyen, apa sahaja mungkin berlaku.

Sarah Murdoch salah umum pemenang Austalia’s Next Top Model

Pada September 2010, para peserta akhir Australia’s Next Top Model musim keenam sedang berdebar-debar menunggu keputusan. Hos Sarah Murdoch mengumumkan gelaran tersebut dimenangi oleh Kelsey Martinovich.

Sebaik sahaja Martinovich mula menyampaikan ucapan meraikan kemenangan, Murdoch mulai sedar akan kesilapan beliau dan tampil mengumumkan nama pemenang sebenar, Amanda Ware.

“Pemenangnya Amanda. Saya betul-betul minta maaf. Saya dapat maklumat yang salah. Ini yang berlaku dalam siaran langsung, penonton sekalian. Ini memang gila,” umum Murdoch ketika itu.

Katy Perry silap dapat hadiah

Dalam NRJ Awards, sebuah festival muzik di Cannes, Katy Perry telah dianugerahkan trofi bagi kategori Lagu Antarabangsa Terbaik yang sepatutnya dimenangi oleh Rihanna bagi lagu Disturbia.

Hos acara tersebut, Nikos Aliagas mengakui kesilapan tersebut pada hujung rancangan. Perrry bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong kerana beliau memenangi kategori Album Antarabangsa Terbaik

Michael Jackson terima anugerah ‘ghaib’

Pada MTV Video Music Awards 2002, Michael Jackson menerima anugerah yang sebenarnya tidak wujud di hadapan ribuan penonton yang keliru.

Britney Spears ketika itu menjemput Jackson ke pentas untuk menerima kek ulangtahun hari lahir ke-44. Spears seterusnya mengumumkan Jackson sebagai penerima anugerah Artist of the Millennium. Tanpa ragu, penyanyi lagu Thriller itu menyampaikan ucapan penuh rasa terharu. MTV selepas itu mengesahkan kesilapan teknikal berlaku.

Frank yang mana satu?

Dalam Anugerah Akademi 1993, bintang filem koboi Will Rogers diberi amanah untuk menyampaikan anugerah bagi kategori Pengarah Terbaik. Beliau mengumumkan, “Pemenangnya, Frank.”

Ketika itu terdapat dua calon bernama Frank iaitu Frank Capra yang dicalonkan bagi filem Lady for a Day dan Frank Lloyd (Cavalcade).

Capra bangun dahulu dan terus berjalan menuju ke pentas sebelum langkahnya terhenti lantaran jeritan meminta beliau duduk berkali-kali kedengaran. Lloyd merupakan pemenang sebenar.