ANDA dahagakan satu filem yang penuh aksi? Filem yang anda rasa “Wow! Dia bergayut dekat helikopter tanpa guna stuntman dan CGI”?

Ini adalah filemnya - ‘Mission Impossible: Fallout’. Dan ini adalah filem wajib tonton tahun 2018!

‘Mission Imposibble: Fallout’ adalah filem ke-6 di dalam francais filem ‘Mission Impossible’ yang berusia 22 tahun dan masih mengekalkan Tom Cruise sebagai teraju utama.

Masih mengekalkan sutradara yang sama dari ‘Mission Impossible: Rogue Nation’, Christopher McQuarrie, filem ini menjanjikan adegan yang sarat dengan aksi, misi di dalam misi, dan plot twist yang sangat menarik.

Ia juga membolehkan para penonton mengenali lebih dekat siapakah Ethan Hunt.

Pasukan Ethan Hunt (Tom Cruise) yang dianggotai Benji Dunn (Simon Pegg), Rebecca Ferguson (Ilsa), dan Luther Stickell (Ving Rhames) - Youtube Paramount Pictures

Pembukaan filem ini tidaklah sehebat aksi dalam filem Rogue Nation tetapi ia lebih mendalam dan mempunyai maksud yang tersendiri, seumpama penonton diberitahu awal oleh pengarah bahawa misi kali ini adalah misi paling mustahil bagi pasukan Ethan Hunt, dan dapat melihat sisi lemah seorang ejen perisikan yang hebat.

Penonton juga dinasihatkan untuk menonton filem ‘Mission Impossible’ yang terdahulu untuk lebih memahami jalan ceritanya kerana filem ini turut menggunakan watak-watak dari filem terdahulu.

Misi kali ini boleh dikatakan yang paling mustahil kerana ia melibatkan musuh tradisi Solomon Lane dan diri Ethan Hunt sendiri. Pada asasnya ia hanyalah satu misi sahaja, tetapi di dalam misi itu terdapat banyak lagi misi, dan plot twist serta aksi yang menakjubkan untuk membuatkan penonton tidak sempat mencari nafas, kerana aksi-aksinya dikoreografikan dengan sangat baik.

Antara babak aksi didalam 'Mission Impossible: Fallout' - Twitter @MissionFilm




Lakonan mantap Tom Cruise harus dipuji kerana beliau memberikan lebih dinamik kepada watak Ethan Hunt dan aktor kacak berumur 56 tahun ini membuat sekali aksi ‘stunt’ beliau sendiri termasuk lompatan HALO (High Altitude Low Open).

Simon Pegg dan Ving Rhames juga membuktikan watak mereka juga penting di dalam filem ini serta sisi komedi watak mereka tidak keterlaluan dan ia membuatkan 'Mission Impossible: Fallout' satu filem yang seimbang. Rebecca Ferguson yang membawa watak Ilsa dari Rogue Nation juga turut memainkan watak penting di dalam filem ini. Cuma, watak Henry Cavill yang menjadi ejen CIA tidak diberi ruang yang luas kerana bagi penulis, watak beliau boleh ditulis dengan lebih baik. Namun, ia satu kepuasan juga apabila melihat ‘Superman’ beraksi dan bergaduh di samping Tom Cruise.

Henry Cavill melakonkan watak August Walker seorang ejen/pembunuh upahan didalam 'Mission Imposibble: Fallout' - Youtube Paramount Pictures

Filem ini adalah filem wajib tonton untuk tahun 2018 kerana aksinya yang sangat ‘real’, mempunyai pelbagai plot twist dan peluang untuk mengenali lebih dekat seorang ejen perisikan yang hebat.

Jangan tunggu lama lagi untuk menyaksikan ‘Mission Impossible: Fallout’ yang kini berada di pawagam berdekatan anda.