KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan rangkaian bekalan dadah yang dipercayai berkait dengan kes penyeludupan 102.19 kilogram (kg) syabu bernilai RM5 juta, susulan penahanan seorang lelaki warga Malaysia oleh pihak berkuasa Brunei di Pos Kawalan Sungai Tujoh, sempadan Brunei-Miri, Sarawak, bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut tertumpu kepada usaha mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan serta individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.
Menurutnya, suspek dipercayai dalam perjalanan membawa dadah berkenaan dari Sarawak ke Sabah dengan melalui Brunei sebelum ditahan pihak berkuasa negara itu ketika pemeriksaan.
"Setakat ini, kita dimaklumkan tangkapan itu membabitkan seorang lelaki yang dipercayai membawa dadah berkenaan dari Sarawak ke Sabah melalui Brunei.
"Kita sedang menunggu hasil siasatan pihak berkuasa Brunei yang turut berkongsi beberapa maklumat dengan kita untuk tindakan susulan, termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah dan rangkaian yang terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penghargaan Pengarah JSJN Bersama Rakan Strategik di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.
Sebelum ini, pihak berkuasa Brunei melaporkan rampasan 102.19 kg syabu yang disembunyikan dalam 100 bungkusan teh di Pos Kawalan Sungai Tujoh, sempadan Brunei-Miri, Sarawak.
Rampasan itu menjadi yang terbesar pernah direkodkan di pos kawalan berkenaan.