KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah memfailkan permohonan hadanah iaitu hak jagaan penuh terhadap dua anaknya di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu.

Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, menuntut hak jagaan terhadap Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Sekiranya permohonan Sarah itu dibenarkan, suaminya, Syamsul Yusof hanya boleh mendapat hak lawatan dan bermalam.

Puteri Sarah yang tiba di mahkamah pada jam 10.59 pagi berkata, permohonan itu dibuat selepas difikirkan ‘secara tiba-tiba’.

“Semalam pun tiba-tiba, kita semua pun main tiba-tiba,” katanya yang hadir di mahkamah dengan memakai jubah berwarna hijau bersama dua anaknya.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu menunggu dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di luar mahkamah tersebut, sementara urusan ibunya selesai.

Hadanah bermaksud permohonan penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri sama ada lelaki atau perempuan, dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

Sementara itu, peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili Puteri Sarah selaku plaintif berkata, permohonan hadanah dibuat mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam, (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

“Seksyen itu memperuntukkan ibu yang paling berhak daripada segala pihak bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan selepas perkahwinannya dibubarkan," katanya.

Setakat ini, beliau berkata, salinan dokumen berkenaan belum diserahkan kepada Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof, 39, selaku defendan.

Beliau berkata, ia disebabkan mereka masih menunggu peluang selain baru memfailkan permohonan itu pada Rabu.

Menyentuh permohonan nusyuz yang difailkan Syamsul, peguam itu berkata, saman dan tuntutan tersebut belum diterima.

"Semalam, pihak kami telah dimaklumkan mengenai tuntutan nusyuz itu, jadi kami akan menjawab selepas mengkaji tuntutan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Puteri Sarah yang juga pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, memfailkan permohonan cerai pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co terhadap Syamsul.

Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.

Pada Selasa, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor. - Sinar Harian