MPO, DFP terus memupuk bakat muzik tempatan

Menurut Ahmad Muriz, kejayaan MPO dan DFP bergantung kepada gabungan sokongan penonton, kerjasama korporat dan strategi inovatif. - Gambar ihsan Malaysian Philharmonic Orchestra
KUALA LUMPUR: Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dan Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) terus memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat muzik tempatan serta mempromosikan seni persembahan di Malaysia.
Konduktor dan Ketua Jabatan Perkembangan Bakat Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), Ahmad Muriz Che Rose berkata, program-program yang dianjurkan memberi platform kepada artis baharu dan terkenal untuk menunjukkan kebolehan masing-masing.
Beliau menekankan bahawa MPO dan DFP bukan sekadar tempat persembahan, tetapi juga penting untuk meletakkan bakat tempatan pada tahap prestij yang sewajarnya.
Kata beliau, tahun 2026 dijangka menjadi tahun yang sibuk dan menarik bagi MPO dan DFP, dengan kalendar persembahan yang merangkumi konsert klasik, persembahan filem, tarian kontemporari, dan persembahan artis tempatan.
"Tahun ini, saya pasti, ia akan menjadi tahun yang agak sibuk untuk MPO sendiri, baik dari segi penganjuran dan persembahan di Philharmonic dan juga acara-acara penting di negara ini.
"Tetapi juga menjanjikan sinar baharu yang lebih menggembirakan kerana MPO dan juga DFP mengeluarkan kalendar untuk tahun 2026, yang saya fikir apabila saya melihatnya, pelbagai variasi, keseronokan dan keterujaan dijanjikan sebaik mungkin," kata beliau dalam temu bual khas program Agenda AWANI pada Isnin.
Sepanjang tahun ini, antara persembahan yang dinantikan termasuk adaptasi karya Shakespeare bertajuk Komedi Kesilapan arahan Dr Norzizi Zulkfili, pementasan tarian kontemporari Yin Yang pada September serta konsert solo penyanyi terkenal tanah air, Sheila Hamzah.
Juga bakal menarik perhatian ialah Konsert Madu 3 pada pertengahan bulan ini yang bakal dipersembahkan oleh National Philharmonic Orchestra (NPO).
Pementasan ini akan memisahkan muzik, vokal dan dialog daripada filem asal dan dimainkan secara langsung oleh orkestra penuh, memberikan pengalaman unik kepada penonton.
Kata Ahmad Muriz, MPO dan DFP berusaha memecahkan pantang larang lama, menjadikan persembahan lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat sambil mengekalkan kualiti tinggi.
"DFP juga menyeimbangkan persembahan tempatan dan antarabangsa, memberi pendedahan kepada muzik klasik dan hiburan moden bagi memenuhi kehendak penonton kontemporari.
"Media sosial dan interaksi digital turut digunakan untuk menarik minat penonton lebih luas," katanya.
Dalam masa sama, beliau menarik perhatian bahawa kerjasama korporat adalah penting bagi memastikan kesinambungan MPO dan DFP, termasuk sokongan bagi persembahan berskala besar dan pembangunan bakat muda.
Kata beliau, kejayaan MPO dan DFP selama ini bergantung kepada gabungan sokongan penonton, kerjasama korporat dan strategi inovatif.
"Ia bukan sekadar mempersembahkan muzik, tetapi juga memupuk bakat tempatan dan membentuk penanda aras industri muzik Malaysia.
"Dengan pelbagai persembahan dirancang untuk 2026, MPO, DFP, dan NPO terus menjadi platform penting bagi bakat tempatan serta memperkukuh reputasi Malaysia dalam seni muzik di peringkat antarabangsa," jelas Ahmad Muriz lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


