Negatif filem sejarah Bukit Kepong yang pernah diterbitkan sekitar tahun 1981 ketika diterima oleh syarikat Prodigital Lab diakui berada dalam keadaan yang agak nazak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Archie Nasution berkata perkara itu bukan merupakan masalah besar dalam usaha ‘menyelamatkan’ filem epik kebanggaan negara ini.

Turut mengakui, pihaknya menghadapi saat genting yang mana boleh membawa risiko kehilangan salinan berkenaan buat selama-lamanya ketika proses pembaikpulihan filem berkenaan.

“Ketika kami menerima Bukit Kepong dalam format filem negatif 35mm, kami dapati bahawa keadaan filem tersebut tidak begitu baik di mana filemnya sudah melekat dan tidak boleh diimbas.

“Oleh kerana itu, ia perlu melalui proses washing yang berisiko tinggi. Ini kerana pihak makmal kami di Bangkok memberitahu bahawa ada filem yang melalui proses ini berkemungkinan pada akhirnya tidak dapat diselamatkan,” jelas Archie yang ditemui di majlis perlancaran trailer Bukit Kepong versi HD di Pitching Centre Content Malaysia, Platinum Sentral, Kuala Lumpur pada Selasa.

Bukit Kepong, Jins Shamsudin
Wajah Tan Sri Jins Shamsudin di dalam filem Bukit Kepong versi HD - Foto United Studios
Kemudian Archie mendapat kebenaran ahli keluarga pengarah filem berkenaan iaitu Tan Sri Jins Shamsudin agar meneruskan sahaja proses ‘mencuci’ negatif berkenaan.

“Memandangkan keluarga hanya mempunyai satu salinan sahaja untuk filem ini, sudah tentu ia umpama hal hidup dan mati ketika diberitahu perlu lalui proses cuci.



“Namun Alhamdulillah, selepas proses tersebut, negatif filem ini sedikit pulih dan dapat kita bawa ke proses seterusnya,” cerita Archie yang menggunakan sekitar 40 orang tenaga kerja untuk proses pendigitalan filem tersebut.

Imej dari filem Bukit Kepong sebelum proses dust & scratch removal
Imej dari filem Bukit Kepong sebelum proses dust & scratch removal

Imej dari filem Bukit Kepong setelah melalui kesemua proses akhir HD Mastering dan Color Grading.
Imej dari filem Bukit Kepong setelah melalui kesemua proses akhir HD Mastering dan Color Grading.

Kata Archie, ia perlu melalui beberapa proses di makmal bagi membersihkannya dengan menggunakan bahan-bahan kimia serta agak rumit sehingga mengambil masa yang agak lama.

Bukit Kepong bukan saja dinaik taraf ke kandungan definisi tinggi (HD) malah Prodigital Lab turut meningkatkan kualiti warna untuk tampak seolah-olah filem yang berusia 34 tahun itu baru menjalani penggambaran semalam.


Trailer filem Bukit Kepong HD

Selain daripada itu, mutu audio juga dipertingkatkan dengan proses adunan semula dari mono ke stereo, suntingan bagi menyelaraskan lipsync audio asal dengan visual, noise reduction serta penambahan kesan khas bunyi.

Jelas Archie, pendigitalan kandungan kreatif seperti Bukit Kepong ini bukan saja meningkatkan kualiti bagi tujuan pengkomersilan dan pengedaran semula, ianya juga menjimatkan kos pengarkiban dan yang lebih penting memelihara khazanah seni tempatan untuk tontonan dan rujukan di masa-masa yang akan datang.