ISU cetak rompak dari dahulu hingga sekarang seolah-olah tiada kesudahan, malah semakin berleluasa dalam dunia digital ini.

Kemudahan penstriman secara digital di era masa kini semakin memudahkan pihak bertanggungjawab untuk membuat salinan karya intelek sebelum disebarkan secara haram.

Bagi penerbit dan pelakon Sheila Rusly, beliau berpendapat ibu bapa perlu berperanan memberi pendidikan kepada anak-anak tentang keburukan mengambil hak orang lain sejak mereka kecil lagi.

Beliau yang berpegang kepada prinsip "melentur buluh biarlah daripada rebungnya" berkata isu ini begitu rumit, malah tidak pernah habis dan mungkin tidak akan selesai.

“Memang susah, tetapi sebenarnya, macam mana kami dapat hapuskan masalah cetak rompak?

“Kita perlu mendidik diri kita sendiri dan pendidikan perlu bermula dari rumah.

"Ia menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk mendidik anak supaya isu cetak rompak ini tidak berpanjangan."

Sheila berkata demikian kepada Astro AWANI sesudah selesai sesi penggambaran drama "Ratu Ten Pin" di Sunway Pyramid pada 9 April lalu.

"Ratu Ten Pin" merupakan drama arahan Azman Yahya atau lebih dikenali sebagai Jinggo yang juga dibintangi bekas pemain boling negara, Syaidatul Afifah.

Antara pelakon lain yang turut membintangi drama tersebut ialah Elisya Sandha, Fify Azmi, Nazim Othman, Wani Kayrie, Dazrin Kamarudin, Lisdawati, Aleeza Kasim, dan Akhmal Nazri.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga dijemput menjadi watak ‘cameo’ dalam drama yang akan ditayangkan di Astro itu.


Sheila yang sudah bergelumang dalam industri seni tanah air selama 35 tahun berkata kerajaan perlu mengambil tindakan yang keras untuk membanteras kegiatan cetak rompak daripada terus menular.

Dalam pada itu, penerbit dan pengarah, Jinggo juga senada dengan Sheila dan berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang lebih serius untuk mengekang masalah tersebut.



“Saya rasa jalan penyelesaian yang terbaik adalah untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya jangan beli cetak rompak.

“Isu ini tidak akan selesai selagi kami tidak menyedarkan orang Malaysia supaya tidak membeli barangan cetak rompak.

“Kami memerlukan pihak polis dan badan-badan terlibat untuk menghentikan masalah ini tetapi ia juga mempunyai kaitan dengan rakyat Malaysia, kita perlu henti,” katanya.



** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.