KESENIAN akan menjadi rendah darjatnya jika pekerja seni hilang hormat pada kerja dan karyanya, kata  pelakon dan pengarah Shahili Abdan atau Nam Ron

"Perkerja seni harus jujur dan ikhlas dalam melakukan kerja seni mereka. Hormati kerja dan karya, sebelum, semasa dan selepas mengerjakannya.

"Kesenian akan menjadi rendah darjatnya jika pekerja seni hilang hormat pada kerja dan karyanya," katanya ketika mengulas ikrar menyokong tatakelakuan bagi industri seni.

Sokongan terhadap tatakelakuan bagi industri seni itu diberikan oleh sekumpulan syarikat, anggota gabungan dan individu yang bekerja dalam industri filem, televisyen dan penerbitan.

Kumpulan yang menamakan diri mereka Integrated Malaysian Actors Network (IMAN) bersama Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) menjelaskan ikrar menyokong tatakelakuan bagi menggalakkan tindakan dan kelakuan khusus dalam setiap urusan profesional dan syarikat.

Mereka menjelaskan, ikrar itu juga ke arah memastikan para pekerja profesional industri menunjukkan integriti, sikap dan saling menghormati dan tingkah laku yang sopan.

Ikrar menyokong tatakelakuan itu dibuat selepas satu kejadian yang memberikan pengaruh buruk tersiar baru-baru ini.

Menurut 29 syarikat, 50 individu dan satu anggota gabungan IMAN, tatakelakuan yang diikrarkan itu meliputi hal-hal diskriminasi, gangguan dan buli.

Manakala bagi pelakon, Nadya Nissa, sokongan terhadap tatakelakuan ini dibuat bagi mewujudkan perkembangan dan cara kerja yang positif dalam industri.

"Saya akan sentiasa menyokong segala usaha kepada perubahan bagi mewujudkan perkembangan dan cara kerja yang positif dalam industri.

"Berikutan kes ini, telah membuka mata kita bahawa masih ada yang buta akan soal adab dan etika bekerja. Ini membuatkan kita tidak bertanggung jawab terhadap peranan masing-masing dalam penghasilan satu karya produksi.

"Saya ragu untuk bekerja dengan rakan lakon lelaki saya sekarang. Justeru itu, tatakelakuan harus diadakan segera supaya saya boleh berbincang dan usulkan pada pihak produksi yang sedang saya jalankan pengambaran sekarang," katanya.

Pelakon dan penerbit Bront Palarae berpendapat isu yang menimbulkan kemarahan ramai perlu digunakan untuk memperbaiki industri hiburan.

"Kita berharap agar Finas dan persatuan-persatuan dalam industri memberi sokongan dan bersama kami menjayakan usaha ini," katanya.

Inisiatif tatakelakuan ini dilaksanakan oleh Iman dan PPFIM ekoran beberapa isu yang timbul dalam industri seni tanah air.