PELAKON televisyen terkenal Ed Asner dilapor meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Berita kematiannya disahkan keluarga mendiang pada Ahad.

"Dengan penuh rasa dukacitanya kami memaklumkan ayahanda tercinta meninggal dunia pagi ini, dalam keadaan tenang.

"Tiada kata dapat menyatakan kesedihan yang kami rasakan.

"Selamat malam, ayah. Kami amat menyayangimu," tulis keluarganya di akaun Twitter pelakon itu.


Difahamkan Asner meninggal dunia kerana sebab-sebab semulajadi.

Pemenang tujuh anugerah Emmy ini pernah muncul dalam drama, rancangan televisyen, dan filem selepas mendapat peluang terbesar melalui rancangan "The Mary Tyler Moore Show."

Asner menempa nama sebagai bos bilik berita Lou Grant dalam sitkom ikonik itu dari tahun 1970 hingga 1977.

Asner juga menyumbang suara kepada watak utama Carl Fredericksen dalam filem animasi "Up" yang turut dicalonkan untuk anugerah Oscar bagi kategori Filem Terbaik.

Edward Asner dilahirkan pada 15 November 1929 di Kansas City, Missouri.

Anak bongsu daripada lima anak ini pernah bekerja sebagai pengarang di surat khabar sekolah menengahnya selain minat bermain football.