PEMAIN dram kumpulan terkenal Rolling Stones, Charlie Watts meninggal dunia pada usia 80 tahun.

Menurut kenyataan jurucakap kumpulan itu, Watts meninggal dunia di London pada Selasa pagi.

Walau bagaimanapun punca kematian mendiang tidak dinyatakan, lapor Variety.

“Dengan rasa penuh dukacita kami mengumumkan pemergian Charlie Watts yang kami sayangi.

"Mendiang meninggal dunia dengan tenang di sebuah hospital di London awal hari ini dikelilingi oleh keluarganya.

“Charlie seorang suami, ayah dan datuk yang disayangi dan juga anggota Rolling Stones; salah satu pemain dram terhebat dalam generasinya.

"Kami memohon agar keluarganya, ahli kumpulan dan teman rapatnya tidak diganggu ketika saat sukar ini."

Pada 4 Ogos, Watts menarik diri daripada terlibat dalam jerayawara kugiran itu ke seluruh Amerika Syarikat atas alasan sedang berehat setelah menjalani prosedur perubatan yang tidak dinyatakan.

Laporan yang tidak disahkan mengatakan bahawa Watts telah menjalani pembedahan jantung.

Watts pernah menderita barah tekak pada tahun 2004 dan juga penyalahgunaan bahan terlarang pada era 1970-an dan 80-an.

Watts turut diiktiraf sebagai antara pemain dram rock terbaik sepanjang zaman.