TEHRAN: Pengarah filem tersohor Iran, Dariush Mehrjui, 83, dan isterinya ditemukan maut selepas ditikam individu tidak dikenali di kediaman mereka, di sini, pada Sabtu lalu.

Media antarabangsa melaporkan, Mehrjui dan isteri beliau, Vahideh Mohammadifar ditemukan berlumuran darah dengan kesan tikaman di leher.

Mayat pasangan suami isteri itu ditjumpai anak mereka, Mona Mehrjui yang pulang ke rumah tersebut bagi menziarahi ibu bapanya.

Pihak berkuasa tempatan yang menyiasat insiden itu tidak menyatakan sebarang motif pembunuhan meskipun Vahideh sebelum ini mengadu tentang ancaman bunuh diterimanya di media sosial.

Siasatan awal polis mendapati, "tiada tanda-tanda pencerobohan di tempat jenayah" dan "tiada kerosakan telah berlaku pada pintu" kediaman pasangan itu.

Bagaimanapun, polis memakulam, "jejak telah ditemui" di tempat kejadian yang dipercayai "berkaitan dengan pembunuh."

Menurut agensi berita ISNA Iran, yang memetik kenyataan ibu pejabat polis, empat suspek yang disyaki telah dikenal pasti dengan kes ini dan dua daripada mereka telah ditangkap. 

Dilahirkan pada 8 Disember 1939 di Tehran, Mehrjui merupakan graduan University of California dalam pendidikan filem pada tahun 1960 sebelum kembali ke Iran dan melancarkan majalah sastera serta menghasilkan filem pertamanya, "Diamond 33" pada tahun 1967 iaitu naskhah parodi kepada siri James Bond.

Sepanjang berkarya, banyak hasil kerja Mehrjui yang mendapat perhatian ramai termasuk filem "Mr Gullible" (1970) dan "The Cycle" (1977) sebelum beliau membuat keputusan meninggalkan Iran selepas Revolusi Islam pada 1979.

Antara tahun 1980 dan 1985, beliau tinggal di Perancis dan menghasilkan dokumentari "Journey to the Land of Rimbaud" (1983).

Sekembali ke tanah air, kerjayanya kembali ke puncak apabila menghasilkan filem "The Tenants" (1987).

Pada tahun 1990, beliau mengarahkan "Hamoun," sebuah komedi gelap yang menunjukkan kehidupan 24 jam seorang intelek yang terganggu oleh perceraian dan kebimbangan psikologi dalam Iran yang dicetuskan oleh dua syarikat teknologi masyhur ketika itu.

Sepanjang tahun 1990-an, Mehrjui juga menggambarkan kehidupan wanita dalam naskhah "Sara" (1993), "Pari" (1995) dan "Leila" (1997), sebuah melodrama mengenai seorang wanita mandul yang memberi dorongan kepada suaminya untuk berkahwin dengan wanita lain.

Beliau pernah menerima anugerah Silver Hugo pada penganjuran Chicago International Film Festival 1998 dan Golden Seashell sempena San Sebastian International Film Festival (1993). - Agensi