KIGALI, RWANDA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Sabtu menggesa negara yang mengenakan sekatan perjalanan dan menutup sempadan mereka susulan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) dan Uganda untuk mempertimbangkan semula langkah berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.
Kanada dan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan perjalanan serta penggantungan visa terhadap penduduk dari Congo, Uganda dan Sudan Selatan susulan wabak itu.
Rwanda dan Uganda turut mengehadkan perjalanan dari Congo. Kedua-dua negara berkongsi sempadan dengan Congo.
Warga asing yang telah melakukan perjalanan melalui Congo dalam tempoh 30 hari lepas tidak dibenarkan memasuki Rwanda.
Bercakap dalam satu sidang media di Bunia, ibu kota wilayah Ituri dan pusat penularan wabak itu, Tedros berkata, perpaduan dan solidariti merupakan senjata terbaik dalam menangani epidemik Ebola, manakala sekatan perjalanan boleh menjejaskan ketelusan dalam pelaporan kes.
Beliau menggesa komuniti tempatan terus memainkan peranan utama dalam tindak balas terhadap strain Bundibugyo Ebola, yang ketika ini belum mempunyai vaksin atau rawatan yang diluluskan.
“Kami tidak berada di sini untuk memberitahu orang ramai apa yang perlu dilakukan. Kami di sini untuk mendengar,” katanya. “Komuniti memahami cabaran mereka sendiri dan penyelesaian mereka sendiri. Peranan kami adalah untuk menyokong anda dalam melaksanakan penyelesaian itu, bersama-sama.”
Sekurang-kurangnya 134 kes disahkan dilaporkan dalam penularan semasa di Congo dan Uganda, menurut kemas kini yang dikeluarkan WHO pada Jumaat.
Jumlah kematian akibat Ebola dalam kalangan kes disahkan di kedua-dua negara kini mencecah 18 orang.
Pihak berkuasa kesihatan Congo berkata kes baharu yang disyaki terus direkodkan, dengan jumlah kumulatif melebihi 1,000 kes sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei lepas.
Strain Bundibugyo Ebola tertumpu di tiga wilayah timur Congo -- Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan.
-- BERNAMA-ANADOLU