Pengarah filem Mamat Khalid hari ini (Sabtu) dilaporkan semakin stabil dan beransur pulih, namun masih ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemeriksaan lanjut.

Isterinya Hasnah Hassan ketika dihubungi Astro Gempak memberitahu, suaminya sudah sedarkan diri dan semakin stabil.

“Alhamdulillah, abang Mamat dah sedar…Dia sihat dan stabil. Tapi buat masa ini dia masih ditahan di wad ICU untuk rawatan susulan,” katanya.

Menurut Hasnah, Mamat dibawa ke Hospital Assunta pada Jumaat selepas mengadu sakit dada.

"Pagi semalam, dia mengadu sakit dada dan meminta supaya dimasukkan ke hospital. Doktor yang memeriksanya mendapati tekanan darahnya tinggi.

“Dia kemudiannya dimasukkan ke ICU untuk tujuan pemantauan. Dalam dua hari ini pihak hospital akan terus memantau keadaannya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, faktor keletihan mungkin punca kesihatan Mamat terjejas kerana pengarah itu sibuk menyiapkan penggambaran drama di Taiping, selain terbabit penerbitan sebuah program realiti TV.

Dalam pada itu, Hasnah turut memohon maaf kerana Mamat Khalid tidak dapat hadir ke Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-26 di Seremban, malam ini berikutan masalah kesihatan.

Mamat tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik menerusi filem Rock Ooo.

Di kesempatan ini, Astro Gempak mendoakan agar Mamat Khalid segera pulih seperti sedia kala. -- Astro Gempak