Penyanyi popular Belanda yang dilahirkan di Indonesia, Anneke Gronloh, meninggal dunia di rumahnya di selatan Perancis, pada Jumaat.

Beliau berusia 76 tahun.

Dilahirkan di Sumatera pada tahun 1942, beliau cukup dikenali di Nusantara kerana berkebolehan membawakan lagu-lagu bahasa Melayu Indonesia.

Antara nyanyiannya yang mendapat tempat di hati peminatnya di sini termasuk Asmara, Burung Kakak Tua, Buka Pintu, Rambut Hitam Matanya Galak dan Oh Malaysia.

Beliau mula menempa nama pada tahun 1962 dengan lagu Brandend Zand setelah memenangi satu pertandingan pencarian bakat di Belanda.

Pada tahun 2000, Anneke Gronloh diiktiraf sebagai Penyanyi Sepanjang Zaman oleh rakyat Belanda sebelum bersara daripada bidang seni suara pada tahun 2017 selepas menghadapi masalah paru-paru.