SEORANG anggota kumpulan muzik popular Astro dari Korea Selatan, Moonbin dilaporkan meninggal di kediamannya di daerah Gangnam, Seoul pada Rabu.

Mendiang berusia 25 tahun.

Mayat penyanyi dan pelakon ternama itu ditemukan oleh pengurusnya pada sekitar pukul 6.10 petang.

Menurut jurucakap polis Gangnam Seoul, sebaik melihat Moonbin yang terbaring kaku, pengurusnya segera menghubungi polis. 

"Kelihatan seperti Moonbin mengambil nyawanya sendiri. Kami sedang membincangkan mengenai kemungkinan melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” kata jurucakap polis itu lagi.



Dalam perkembangan sama, agensi pengurusan Korea Selatan yang mewakili kumpulan Astro, Fantagio mengesahkan kematian Moonbin serta memberitahu penyanyi itu "kini menjadi bintang di langit."

"Walaupun tidak dapat dibandingkan dengan kesedihan yang dilalui keluarga yang terpaksa berpisah dengan anak dan adik kesayangan mereka, kesemua artis dan kakitangan di Fantagio yang telah bersama-sama dengannya untuk tempoh masa yang lama juga sedang berkabung serta sangat terkejut dengan pemergiannya," kata agensi itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.


Dalam masa sama, agensi tersebut meminta peminat-peminat "untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau dakwaan yang berniat jahat."

Moonbin atau nama sebenrnya Moon Bin yang dilahirkan di Cheongju, wilayah Chungbuk memulakan kerjaya seninya sebagai model kanak-kanak pada tahun 2004.

Mendiang pernah muncul dalam video muzik "Balloons" kumpulan TVXQ pada tahun 2006.
Sementara penampilan pertama Moonbin dalam bidang lakonana pula ialah pada tahun 2009 menerusi drama bersiri Boys Over Flowers.

Moonbin juga pernah membintangi siri televisyen popular, At Eighteen pada tahun 2019.

Dalam bidang seni suara pula, mendiang Moonbin ditampilkan sebagai salah seorang daripada enam orang anggota kumpulan Astro pada tahun 2016.

Dia bagaimanapun, membuat keputusan berehat seketika daripada bidang seni pada tahun 2019 atas sebab kesihatan sebelum kembali aktif setahun kemudian dan menjadi hos bagi siri muzik Korea popular, Show Champion.



* Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.