SELEPAS sekian lama berteka-teki, penyanyi masyhur Indonesia, Syahrini atau lebih dikenali sebagai Princess Syahrini di laman Instagram peribadinya kini secara rasmi menjadi isteri kepada Reino Barack.

Pasangan popular itu memilih kotaraya Tokyo, Jepun sebagai destinasi mengikat hubungan pernikahan, jauh dari tumpuan lensa media Indonesia yang sudah jenuh menunggu pengesahan daripada mereka selama ini.

Majlis penyatuan dua hati itu berlangsung Masjid Tokyo Camii pada pagi Rabu, lapor portal berita Kompas.

Acara pernikahan yang diadakan secara tertutup untuk kaum keluarga terdekat dan sahabat karib mereka juga menetapkan tiada sebarang rakaman foto menerusi telefon bimbit boleh dilakukan para tetamu.

Tetamu-tetamu undangan dari Jakarta yang terbang ke Tokyo untuk menyaksikan majlis pernikahan pasangan ini termasuk taikun media, jutawan dan ketua parti politik Nasdem, Surya Paloh, artis terkenal, Maia Estianty serta beberapa bekas menteri kabinet Indonesia.

PERNIKAHAN Syahrini dan Reino Barack pada Rabu sekali gus menamatkan teka-teki peminat di Indonesia. - Gambar sumber media sosial

Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai artis papan atas di Indonesia, maka pernikahan penyanyi ini menjadi bahan perbincangan hangat di laman Twitter.

Dengan hashtag #SyahriniReinoSatuAtap netizen saling membicarakan acara penikahan pasangan itu.

Bahkan, rasa penasaran atau keterujaan netizen Indonesia terhadap pernikahan itu sukar dibendung sehingga beribu peminat artis itu saling berbalas mesej, ucapan dan nota di Twitter.

Cerita perkahwinan pasangan ini tidak kurang menjadi berita panas dalam laporan media Indonesia memandangkan Reino merupakan bekas kekasih artis wanita kontroversi, Luna Maya.

Berdasarkan laporan media di negara jiran itu, Luna dan Syahrini pernah bersahabat karib.

Bagaimana Syahrini dan Reino menyulam kasih tidak dapat dipastikan, namun suatu yang pasti Luna terpaksa menerima hakikat bahawa dia bukanlah jodoh lelaki berkenaan.

Berlangsung dalam suasana penuh syahdu, majlis pernikahan Syahrini dan Reino diadakan secara sederhana.

Bagaimanapun, masjid berkenaan dikawal ketat sehingga wartawan Indonesia yang turut berada di Tokyo hanya mampu mundar-mandir di persekitaran masjid sehingga radius 500 meter.

Tiada seorang pun tetamu dibenarkan membawa kamera kecuali pasukan kamera profesional yang diupah oleh pengantin.