PELAKON Indonesia, Raline Shah dipanggil polis Korea bagi membantu siasatan terhadap kes bekas ahli Big Bang, Seungri yang terbabit dalam aktiviti pelacuran.

Nama Raline terpalit kerana foto yang memperlihatkan dia turut berada di sambutan hari lahir Seungri yang diadakan di Filipina pada 2017.

Namun, Raline menjelaskan tiada sebarang aktiviti yang mencurigakan berlaku sepanjang majlis sambutan hari lahir itu kerana ia dihadiri keluarga dan rakan terdekat Seungri.

"Ia sekadar sambutan hari lahir. Malah, keluarga dia juga turut berada di situ untuk memeriahkan sambutan," katanya.

Menurut laporan antarabangsa, Raline juga memaklumkan ramai selebriti yang terlibat semasa sambutan hari lahir tersebut namun dia tidak boleh mendedahkan nama-nama mereka.

"Saya tidak boleh mendedahkan nama mereka sebab masing-masing ada peminat yang sentiasa menyokong," ujarnya.

Dalam perkembangan terkini mengenai kes tersebut, peguam Kim Kwang-Sam memaklumkan, Seungri bakal berhadapan hukuman penjara selama dua hingga tiga tahun.

Sebelum ini, Seungri dituduh menawarkan perkhidmatan seksual kepada bakal pelabur dari luar negara di sebuah kelab malam di Gangnam pada 2015.

Selain itu, dia juga didakwa terlibat dalam mengatur beberapa aktiviti sama yang pernah dihoskannya di Filipina pada Disember 2017.