ENTERTAINMENT
Roziana Cindy lancar lagu 'Tinggalkan Luka'

Roziana Cindy melancarkan single terbaharu berjudul "Tinggalkan Luka" yang ditulis oleh komposer Indonesia, Ilham Baso. -Gempak
SELEPAS kejayaan single Paling Sejati yang meraih hampir 150,000 penstriman di Spotify dan lebih 300,000 tontonan di YouTube sejak dilancarkan pada November lalu, penyanyi dan artis versatil, Roziana Cindy, kini kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul 'Tinggalkan Luka'.
Ringkasan AI
- Roziana Cindy melancarkan single terbaharu berjudul "Tinggalkan Luka" yang ditulis oleh komposer Indonesia, Ilham Baso.
- Lagu ini menggambarkan perjalanan seseorang yang melalui episod duka akibat patah hati dan memilih untuk melepaskan masa lalu.
- "Tinggalkan Luka" dilancarkan pada 25 April 2025 dan boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.
Dengan susunan muzik yang minimalis dan menyentuh, ditambah dengan lontaran vokal Roziana yang penuh emosi, lagu ini menyerlah sebagai sebuah karya yang menggugah rasa dan mengajak pendengar merenung kembali makna kehilangan dan penyembuhan.
“Tinggalkan Luka mengingatkan kita agar tidak terus terikat dengan kesakitan yang pernah melukai kita, tetapi sebaliknya belajar untuk melepaskannya.
"Saya amat bersyukur dapat bekerjasama dengan Ilham, kepekaan dan kehalusan seninya telah menghidupkan lagu ini dengan begitu indah,” ujar Roziana, yang juga bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk projek ini.
Bagi Ilham Baso, pengalaman bekerjasama dengan Roziana turut meninggalkan kesan yang mendalam.
“Roziana memiliki suara yang jujur dan penuh keanggunan. Melalui Tinggalkan Luka, kami cuba mengetengahkan kisah yang sangat manusiawi – tentang perpisahan dan kekuatan untuk pulih.
"Saya yakin ramai akan merasai getarannya,” kongsinya.
Dengan peluncuran single ini, Roziana bukan sahaja memperkukuh kehadirannya dalam arena muzik serantau, malah memperlihatkan evolusi dirinya sebagai seorang artis yang matang, introspektif, dan berani mempersembahkan karya yang bersifat peribadi dan tulus.
“Tinggalkan Luka” dilancarkan secara rasmi pada 25 April 2025, dan kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer.
Sebuah video lirik rasmi turut menemani pelancaran ini, yang ditayangkan pada jam 12.00 tengah hari di saluran YouTube rasmi Roziana Cindy. -Gempak
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami