Sakralara 1
Sakralara dijual dengan hara RM18 senaskah

KUALA LUMPUR: Puisi merupakan salah satu bentuk karya sastera, selain cerpen, novel dan lain-lain, yang menggunakan kata-kata, irama dan rima sebagai media penyampaian untuk mengekspresikan perasaan dan pemikiran penyair.

Menerusi puisi juga penyair dapat menciptakan ilusi dan iamginasi untuk pembaca -kalau tidak untuk dirinya sendiri- diubah dalam bentuk bahasa yang memiliki kesan yang mendalam. Dalam puisi gagasan penyair atau penulisnya digambarkan menerusi penataan unsur bunyi dan keindahan ilusi.

Puisi dicipta dalam berbagai genre, ada yang kritik, ada puisi patriotik dan ada juga puisi cinta. Semuanya, sama ada puisi kritik atau puisi cinta, tidak mudah untuk ditulis.

Dalam membuat puisi cinta, kita harus mengeluarkan semua perasaan yang sedang kita alami saat sedang menulisnya. Setelah itu, himpunan kata-kata itu menjadi sebuah puisi cinta yang indah. Indah kepada pembacanya atau paling tidak kepada penulisnya sendiri.

Kerana minat terhadap puisi juga, sekumpulan enam penulis bergabung menerbitkan sebuah buku memuatkan puisi cinta bertajuk 'Sakralara'.

Sakralara
Enam penulis bergabung menghasilkan Sakralara yang memuatkan puisi-puisi cinta
Penyelaras penerbitan Sakralara yang juga salah seorang penulis dalam buku ini, Al-Abror Mohd Yusuf menjelaskan, puisi cinta dipilih kerana ia mampu mencabar pembaca untuk memahami mesej-mesej yang mahu disampaikan.

"Puisi cinta dipilih kerana ia lebih lembut dan menyentuh serta mencabar pembaca untuk memahami mesej-mesej yang cuba disampaikan oleh penulis.

"Puisi cinta sebab aku secara peribadi nak cabar diri. Yang aku rasa aku sangat jarang tulis sajak cinta. Biasanya politik atau ehwal semasa. Jadi Sakralara ni cabaran aku mencabar diri sendiri," katanya kepada Astro AWANI.

Secara berseloroh (atau mungkin ini yang paling jujur), Al-Abror berkata;"Aku malas nak tulis panjang-panjang macam cerpen apa lagi novel,"

Enam bulan masa diambil untuk menyiapkan Sakralara termasuk mengumpul bahan, menyunting, reka bentuk buku dan percetakan.

"Enam bulan tempoh kami mula setuju menulis hingga buku keluar dari printer," katanya lagi.

Al-Abror menjelaskan, kemungkinan akan ada projek lain lagi selepas ini, dan tidak menolak untuk bekerjasama lagi dengan lima penulis yang bersama menghasilkan Sakralara.

Sakralara berharga RM18 senaskah dan boleh dibeli dengan cara membuat pesanan menerusi emel [email protected].