HIBURAN
Sean Diddy dipenjara empat tahun, akui perbuatan ‘menjijikkan dan memalukan’

Sean “Diddy” Combs, dijatuhi hukuman penjara empat tahun dua bulan kerana kesalahan membawa individu merentas negeri untuk tujuan hubungan seksual. - Gambar fail Reuters
NEW YORK: Pemuzik dan penerbit terkenal Hollywood, Sean “Diddy” Combs, dijatuhi hukuman penjara empat tahun dua bulan kerana kesalahan membawa individu merentas negeri untuk tujuan hubungan seksual.
Hukuman itu dijatuhkan pada Jumaat, sekali gus menutup kes persekutuan yang penuh dengan keterangan mengejutkan, dan menjadi detik penghitungan besar buat ikon hip-hop berusia 55 tahun itu.
Selain hukuman penjara, Diddy turut didenda AS$500,000 (RM2.1 juta).
Memandangkan dia sudah menjalani hukuman penjara setahun, Diddy dijangka dibebaskan sekitar tiga tahun lagi.Peguamnya bagaimanapun merayu agar Diddy dibebaskan segera, dengan alasan masa di sebalik tirai besi sudah membuatkan artis tersohor itu insaf dan bebas daripada pengaruh dadah.
Diddy sebelum ini disabitkan kesalahan pada Julai lalu kerana menerbangkan teman wanita dan pekerja seks lelaki ke seluruh negara untuk terlibat dalam hubungan seksual berasaskan dadah.
Namun, dia dibebaskan daripada tuduhan lebih berat iaitu pemerdagangan seks dan jenayah terancang yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.
“Kenapa perkara ini berlarutan begitu lama?” soal Hakim Arun Subramanian, ketika menjatuhkan hukuman.
“Kerana anda memiliki kuasa dan sumber untuk terus melakukannya dan kerana anda tidak ditangkap.”
Sepanjang prosiding, Diddy kelihatan tenang tanpa sebarang reaksi apabila hukuman dibacakan.
Bagaimanapun, dalam kenyataan terakhirnya di mahkamah, dia mengakui segala perbuatannya sebagai “menjijikkan” dan “memalukan”, sambil memohon maaf kepada mangsa yang disakiti secara fizikal dan mental.
“Perbuatan keganasan rumah tangga saya adalah beban yang akan saya pikul sepanjang hidup,” katanya.
Peguam belanya menayangkan video berdurasi 11 minit yang memaparkan kehidupan keluarga, kerjaya dan kerja amalnya.
Pada satu ketika, Diddy dilihat menutup wajah dengan tangan sambil menangis.
Sepanjang perbicaraan hampir dua bulan di Mahkamah Persekutuan Manhattan, saksi wanita tampil memberi keterangan bahawa Diddy pernah memukul, mengugut, menyerang secara seksual dan memeras ugut mereka.
Pendakwa raya, Christy Slavik, menegaskan bahawa memberi hukuman ringan kepada Diddy ibarat menghalalkan tahun-tahun keganasan yang dilakukannya.
“Ini adalah kisah tentang seorang lelaki yang melakukan perkara mengerikan kepada manusia sebenar demi memenuhi nafsunya. Dia tidak perlukan wang, mata wangnya adalah kuasa,” tegas Slavik.
Kes itu dijalankan di bawah Mann Act, undang-undang yang melarang membawa individu merentas negeri untuk tujuan pelacuran.
Antara keterangan mengejutkan ialah daripada bekas teman wanita, Casandra “Cassie” Ventura, yang mendakwa, Diddy memaksanya melakukan hubungan seks menjijikkan dengan orang asing ratusan kali sepanjang 10 tahun hubungan mereka.
Juri turut ditunjukkan rakaman video Diddy menyeret dan memukul Cassie di sebuah hotel di Los Angeles.
Seorang lagi saksi, dikenali sebagai “Jane”, mendakwa, dia dipaksa melakukan hubungan seks dengan pekerja lelaki ketika malam-malam penuh dadah di hotel, sambil diperhatikan dan kadang kala dirakam oleh Diddy.
Walaupun seorang mangsa dijadualkan tampil memberi kenyataan pada Jumaat, ia dibatalkan selepas bantahan peguam bela.
Mangsa, bekas pembantu yang dikenali sebagai “Mia”, sebelum ini mendakwa dirogol Diddy pada 2010. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami