Selepas 27 tahun, Sudirman Haji Arshad terus dirindui

Saharudin Musthafa
Februari 22, 2019 02:00 MYT
Sudirman mengutamakan kecintaannya pada bidang seni berbanding kegembiraan dirinya sepanjang hayatnya.
HARI ini 22 Februari pada tahun 1992, Datuk Sudirman Haji Arshad meninggal dunia ketika berusia 37 tahun.
Walaupun sudah 27 tahun berlalu, namun kehilangan seniman bertubuh kecil itu masih dirasai kerana personaliti menawan yang dimilikinya selain kecintaan pada seni mengatasi kegembiraan diri sendiri.
Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri atau sambutan Hari Kemerdekaan negara, lagu-lagu nyanyian Allahyarham Sudirman akan kerap kedengaran.
Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Tanggal 31 Ogos, Merisik Khabar, Salam Terakhir dan Pelangi Petang antara lagu yang sangat mesra dalam kalangan peminatnya.
Selama lebih sedekad bergelar anak seni, lulusan undang-undang dari Universiti Malaya ini sinonim dengan gelaran penghibur rakyat.
Sudirman disenangi dan disayangi oleh peminat-peminatnya dari segenap lapisan masyarakat termasuk tokoh-tokoh kenamaan negara.
Tidak hanya berjaya dalam bidang akademik, Allahyarham Sudirman juga cemerlang dalam gelanggang seni.
Banyak anugerah dirangkul Allahyarham Sudirman sepanjang kerjaya seninya.
BACA: "Bukan mudah menulis mengenai Sudirman" - Saodah Ismail
Kejayaan paling kemuncak tentu sekali Anugerah Penghibur Terbaik Asia di Asian Popular Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 1989.
Bagi sahabat karib yang juga penulis lirik, Habsah Hassan, sekalipun sudah 27 tahun Sudirman meninggal dunia, namun sehingga ke detik ini ingatan terhadap Sudirman tidak pernah padam.
“Saya sangat merindui dia. Orang tidak tahu betapi kami berkelahi, kami bergurau, kami berkongsi susah senang, air mata. Jadi sukar bertemu adik macam dia,” kata Habsah dalam nada sebak ketika pelancaran buku ‘Sudirman yang Ku Kenali’ tulisan wartawan Saodah Ismail.
BACA: Wartawan Saodah Ismail bukukan kisah Allahyarham Sudirman
Bagi Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, beliau menganggap Sudirman bukan sekadar seniman yang biasa tetapi seorang pencetus inspirasi.
Sekalipun tidak pernah mengenali Sudirman secara peribadi namun beliau menganggap dedikasi Allahyarham pada industri hiburan cukup luar biasa.
"Tidak ada lagi seniman seperti Sudirman. Ini bukan bermaksud memperkecilkan seniman-seniman yang ada, tetapi Sudirman mewarnakan zamannya. Sesuatu yang payah biasanya.
"Seorang yang kalau dia biduan biduanita, dia hanya menyanyi. Tetapi Sudirman lebih dari itu. Dia bergaul dan memberi ilham kepada orang lain,” ujarnya.
Bagi Saodah, beliau tidak mahu legenda seperti Sudirman hilang begitu sahaja. Atas alasan itu, beliau berkongsikan pengalaman persahabatannya dalam buku ‘Sudirman yang Aku Kenali’.
“Sebagai seorang kawan, saya tulis buku tentang dia sebab tidak mahu ia hilang begitu sahaja. Nama Sudirman itu takkan kita nak kenang ketika 22 Februari sahaja?”
#Asian Popular Music Awards #Dari Jauh Ku Pohon Maaf #Datuk A Samad Said #habsah hassan #legenda #Penghibur Terbaik Asia #Royal Albert Hall #Salam Terakhir #Saodah Ismail #Sasterawan Negara #Sudirman #Sudirman Hj Arshad #undang-undang #universiti malaya