SELEPAS pelbagai kejutan ditampilkan kepada pendukung setia mereka, ARMY, kumpulan K-pop ternama dunia, BTS bakal menghadiahkan sebuah lagi buah tangan terbaharu.

Jika tiada aral melintang, ARMY berpeluang menonton sebuah lagi filem dokumentari yang merakamkan momen-momen BTS sepanjang menjayakan konsert jelajah mereka ‘Love Yourself: Answer’.

Filem dokumentari ‘Bring The Soul: The Movie’ merupakan filem teater ketiga yang ditayangkan selepas ‘Burn The Stage: The Movie’ pada 2018 dan ‘Love Yourself In Seoul’ pada awal tahun ini.

Ini merupakan peluang keemasan bagi BTS ARMY khususnya mereka yang tidak pernah merasai pengalaman ke konsert kumpulan K-pop termasyhur ini.

Rakaman eksklusif itu boleh dinikmati dalam versi filem yang akan ditayangkan pada 7 Ogos ini.

Bukan itu sahaja, klip video ‘trailer’ filem itu juga telah dimuat naik pada 3 Julai dan ternyata ia mendapat sambutan dan kegilaan bagi mereka yang tidak sabar ingin menontonnya.


Sedutan klip video trailer yang berdurasi selama seminit itu menunjukkan beberapa babak yang terjadi di sebalik tabir termasuk kerenah dan gelagat semua anggota BTS sebelum mengadakan konsert dan sesi temubual bersama Army.

Sebelum ini, filem BTS iaitu ‘Burn The Stage’ mencatat kutipan AS$18.5 juta (RM76.4 juta), sekali gus menewaskan kutipan filem konsert tertinggi oleh kumpulan 'One Direction'.

Menurut kenyataan rasmi BTS, filem terbaharu kumpulan ikonik K-pop itu menyiarkan detik-detik konsert berharga mereka yang bermula di Seoul, Korea Selatan dan berakhir di Paris, Perancis.

Dalam pada itu juga, ARMY turut berpeluang menyaksikan peristiwa-peristiwa lucu diantara RM, Jin, Jungkook, Jimin, J-Hope, Suga dan V semasa menghadiri parti meraikan kejayaan konsert jelajah iaitu sesuatu yang jarang dikongsi dengan peminat mereka.

Sementara itu, syarikat pawagam terkemuka di Malaysia, Golden Screen Cinemas (GSC) mengesahkan akan menjadi pengedar rakaman filem dokumentari BTS, Bring The Soul: The Movie.

GSC berkata, peminat-peminat BTS sudah boleh membuat tempahan tiket untuk menonton filem berkenaan sejak 3 Julai lalu.

Syarikat berkenaan turut memaklumkan jumlah tiket bagi menonton filem berkenaan sangat terhad dan tempoh tayangan hanya akan berlangsung selama lima hari di rangkaian pawagam berkenaan.