FILEM Sumpahan Jerunei mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila berjaya memenangi enam trofi di Florence Film Awards, Itali dan Paris Film Awards.

Penerbit bersama filem tersebut, Datin Wendy Wong berkata, dia dan rakan kongsi, Datuk Nancie Foo bersyukur filem arahan Jason Chong itu mendapat pengiktirafan di peringkat global selepas berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Memang menjadi hasrat kami membawa filem Sumpahan Jerunei yang mengangkat kisah adat dan budaya unik kaum Melanau di Sarawak ke peringkat global dengan menghantar penyertaan ke tujuh festival antarabangsa.

“Syukur usaha kami membuahkan hasil apabila filem Sumpahan Jerunei mendapat lima anugerah di Florence Film Awards yang berlangsung di Tuscany, Itali dan satu lagi anugerah di Paris Film Awards,” katanya.

Filem terbitan Produksi Seni 2020 Sdn Bhd yang bergenre seram, budaya dan fiksyen itu baharu saja ditayangkan di pawagam tempatan bermula Khamis lalu.

Ia menampilkan barisan pelakon seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek dan Yuyun Hikmah.

Mengenai anugerah itu, kata Wendy, filem Sumpahan Jerunei diumumkan memenangi lima anugerah membabitkan pelbagai kategori utama di Florence Film Awards pada Mei lalu.

“Lima anugerah diterima membabitkan kategori Filem Cereka Terbaik, Pengarah Terbaik (Jason Chong), Sinematografi Terbaik (Haris Hue Abdullah), Muzik Skor Asal Terbaik (Sharon Paul) dan Penerbit Terbaik (Wendy Wong dan Nancie Foo).

“Satu lagi anugerah menerusi kategori Filem Cereka Terbaik di Paris Film Awards pada Mac lalu,” katanya.

Tidak ketinggalan, kata Wendy, filem Sumpahan Jerunei turut terpilih untuk tayangan perdana sempena Julien Dubuque International Film Festival di Amerika Syarikat pada Mei lalu.

“Sumpahan Jerunei belum siap ‘final cut’ selama 115 minit juga terpilih untuk tayangan pada Festival Filem Busan di Korea.

“Lebih memberangsangkan, filem Sumpahan Jerunei ditayangkan sempena malam pembukaan Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini,” katanya.

Ditanya mengapa merahsiakan kemenangan, kata Wendy, dia hanya mahu menguar-uarkan kemenangan filem Sumpahan Jerunei selepas filem ditayangkan dengan membuktikan kelebihan dari segi aspek sinematografi dan pengarahan bagus.

“Kami mahu membuktikan kepada pengarah kesan khas imej janaan komputer (CGI) dari Hollywood yang pernah melakukan kerja separuh jalan bahawa kami tidak bertanding dari aspek CGI,” katanya.

Separuh jalan

Sementara itu, mengulas isu bersama pengarah CGI itu, kata Wendy, pihaknya sedih dan kecewa kerana filem itu ‘dirosakkan’ oleh pengarah CGI terkenal dari Hollywood.

Menurut Wendy, pihaknya sudah mengeluarkan bajet besar mencecah ratusan ribu ringgit untuk mendapatkan khidmat pengarah yang pernah memberi sentuhan kepada filem hebat seperti Harry Potter dan Spiderman itu.

“Secara tiba-tiba pengarah CGI yang buat ‘design’ untuk filem ini meninggalkan kerja separuh jalan dengan alasan tidak boleh bekerja dengan pengarah filem.

“Pengarah CGI itu memberitahu mampu buat filem Sumpahan Jerunei menang besar, asalkan nama pengarah Jason Chong dibuang daripada filem ini,” jelasnya.

Namun, kata Wendy, dia dan Nancie tidak bersetuju dengan permintaan pengarah CGI itu.

“Pengarah CGI itu terus meninggalkan kerja separuh jalan hingga kami terpaksa mendapatkan khidmat kesan khas dan 3D dalam kalangan orang tempatan untuk menyambung kerjanya yang tidak siap,” ujarnya. -- Sinar Harian